KUALA LUMPUR - Malaysia sedang mengintai peluang membuka laluan penerbangan terus dari Riyadh, Arab Saudi sebagai langkah strategik untuk memperluas pasaran pelancongan negara, khususnya dari rantau Timur Tengah yang dikenal pasti berpotensi tinggi selaras dengan agenda Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026).
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, cadangan itu sedang dibincangkan bersama Batik Air susulan kejayaan syarikat penerbangan tersebut membuka laluan ke bandar-bandar peringkat kedua dan ketiga, yang sebelum ini kurang mendapat perhatian kebanyakan syarikat penerbangan kerana risiko operasi yang tinggi.
Menurut beliau, pendekatan berani itu selari dengan keperluan Malaysia untuk meneroka pasaran baharu serta memperkukuh daya saing industri pelancongan negara di peringkat antarabangsa.
“Kenapa tidak kita lihat Riyadh sebagai peluang baharu? Jeddah mempunyai kekangan tertentu dari segi ketersediaan penerbangan, sedangkan minat rakyat Arab Saudi untuk melancong ke Asia Tenggara, khususnya ke Malaysia, sangat besar.
"Ketika ini sebahagian besar penerbangan keluar dari Jeddah ke rantau Asia Tenggara tertumpu ke negara lain seperti Indonesia, sekali gus mengehadkan peluang Malaysia menarik lebih ramai pelancong dari Arab Saudi, termasuk segmen pelancongan keluarga dan premium.
“Mengapa tidak kita fokus juga kepada Riyadh? Ini satu peluang yang sangat baik. Thailand sudah jauh ke hadapan apabila menyediakan sehingga lima penerbangan sehari ke Arab Saudi, termasuk dua penerbangan menggunakan pesawat berbadan besar Dreamliner,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis menandatangani Memorandum Kerjasama (MoC) antara Tourism Malaysia dan Batik Air, di sini pada Selasa.
Menurut beliau, Malaysia tidak boleh terus berada di belakang dalam persaingan serantau bagi menarik pelancong dari Timur Tengah, sebaliknya perlu berani mengambil cabaran dan bertindak lebih agresif dalam memperluas rangkaian penerbangan antarabangsa.
“Dengan formula yang sama, kami akan bekerjasama rapat dengan Batik Air serta Tourism Malaysia untuk memperkukuh promosi di Riyadh dan Jeddah. Kita mahu pastikan inisiatif penerbangan dari Riyadh ke Malaysia ini berjaya, malah kita berhasrat untuk memulakannya lebih awal.
"Keterhubungan bukan sekadar menyediakan penerbangan, sebaliknya menjadi faktor penentu kepada daya saing sesebuah destinasi pelancongan, dengan syarikat penerbangan memainkan peranan penting dalam membentuk tanggapan pertama dan terakhir pelawat terhadap Malaysia," ujarnya.
Dalam hal ini, beliau memuji Batik Air kerana memainkan peranan strategik dalam menyokong TMM2026 melalui kerjasama promosi bersama Tourism Malaysia, pengukuhan jaringan serantau serta pembukaan laluan ke bandar-bandar sekunder berpotensi tinggi.
“Saya telah mendekati banyak syarikat penerbangan tempatan sebelum ini, namun kebanyakannya tidak berminat untuk meneroka bandar peringkat kedua dan ketiga kerana risikonya tinggi. Batik Air berani mengambil cabaran ini dan hasilnya, kita telah berjaya.
"Apabila saya membuat promosi di China, ramai menyangka saya menyukai atau mengutamakan China, sedangkan hakikatnya China merupakan pasaran besar dengan lebih satu bilion penduduk dan menawarkan peluang yang luas.
"Begitu juga dengan pasaran Thailand yang aktif. Namun, kebanyakan syarikat penerbangan tidak berminat ke bandar peringkat kedua kerana risikonya tinggi," kongsinya.
Beliau berkata, setiap negeri di Malaysia mempunyai keunikan tersendiri dari segi warisan, budaya, gastronomi dan produk pelancongan, namun potensi itu hanya dapat dimanfaatkan sepenuhnya sekiranya akses dan jaringan penerbangan dipertingkatkan.
“Dengan memperluas laluan penerbangan, kita bukan sahaja membawa pelancong masuk ke Malaysia, tetapi menggalakkan mereka menjelajah ke seluruh negara, termasuk destinasi baharu yang sedang membangun.
"Kita ambil risiko bersama untuk membawa pelancong dari bandar peringkat kedua malah ketiga ke Malaysia. Saya lihat usaha ini telah berjaya. Saya ingin mengucapkan tahniah dan berharap Batik Air akan terus berani menyahut cabaran," katanya.
Dalam pada itu, King Sing menegaskan bahawa persaingan dalam industri penerbangan masa kini tidak lagi bergantung kepada harga semata-mata, sebaliknya menuntut standard perkhidmatan yang lebih tinggi, termasuk ketepatan masa, profesionalisme kru serta penjagaan penumpang yang serius.
"Begitu juga peranan ejen pelancongan dan rakan industri yang merupakan penghubung antara destinasi dan pelancong. Anda mempengaruhi pilihan, membentuk pengalaman, dan membawa cerita Malaysia ke seluruh dunia.
"Kerjasama kukuh antara syarikat penerbangan, Tourism Malaysia dan industri pelancongan adalah kunci kepada ekosistem yang seimbang, berdaya tahan dan terus berkembang," katanya.