SHAH ALAM – Bay Smart Capital Venture Sdn Bhd (CapBay), sebuah syarikat fintech tempatan yang menyediakan pembiayaan rantaian bekalan serta platform pembiayaan Peer-to-Peer (P2P), menjalin kerjasama strategik dengan Persatuan Kontraktor Infrastruktur dan Pengurusan Fasiliti Bumiputera (PKIF) menerusi pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU).
Kerjasama itu bertujuan memperkasa kontraktor Bumiputera melalui penyediaan akses pembiayaan yang lebih cekap bagi menyokong pertumbuhan dan kelancaran operasi perniagaan.
Majlis pertukaran dokumen MoU disempurnakan oleh Pengurus Besar Pakar Industri CapBay, Aminbasha Basharudin dan Presiden PKIF, Datuk Seri Dr Hj Arifuddin Mohamed Shah. Inisiatif berkenaan selari dengan aspirasi Ekonomi MADANI serta Dasar Pembinaan Negara 2030 (NCP 2030) dalam memperkukuh daya saing industri pembinaan negara.
Menerusi kolaborasi tersebut, kira-kira 70 ahli aktif PKIF yang terlibat dalam sektor infrastruktur kritikal termasuk pembinaan jalan raya, jambatan, kerja elektrikal dan penyelenggaraan fasiliti bakal menikmati akses kepada pembiayaan digital yang lebih pantas dan fleksibel.
PKIF merupakan persatuan yang diiktiraf oleh beberapa agensi utama antaranya Jabatan Kerja Raya (JKR), Tenaga Nasional Berhad (TNB), Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).
Aminbasha berkata, CapBay komited menyokong pertumbuhan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), khususnya dalam sektor infrastruktur dan pengurusan fasiliti.
“Dengan rekod penyaluran pembiayaan berjumlah RM5 bilion kepada lebih 2,400 PKS, CapBay bersedia membantu memperkukuh kecairan modal serta menyokong pelaksanaan projek berskala lebih besar,” katanya.
Sementara itu, Datuk Seri Dr Hj Arifuddin berkata, kerjasama tersebut mencerminkan komitmen PKIF dalam menjaga kebajikan dan memperkasa keupayaan ahli.
“Dengan sokongan akses pembiayaan daripada CapBay, kami yakin ahli PKIF akan lebih berdaya saing dan mampu menyumbang secara signifikan kepada pembangunan ekonomi negara,” ujarnya.
CapBay dan PKIF optimis kerjasama itu mampu menjadi pemangkin kepada pemerkasaan kontraktor Bumiputera dalam menyokong pembangunan infrastruktur negara yang cekap, mampan dan bertaraf dunia.