New York Times saman Jabatan Perang AS berhubung dasar media baharu - Dokumen mahkamah

Iklan
The New York Times saman Pentagon atas dasar media baharu yang didakwa menyekat kebebasan media dan melanggar Perlembagaan AS - Foto: Agensi

WASHINGTON - The New York Times memfailkan saman terhadap Jabatan Perang Amerika Syarikat (AS) berhubung dasar media baharu yang melarang wartawan menerbitkan sebarang maklumat yang tidak diluluskan kerajaan untuk disiarkan, menurut dokumen mahkamah yang dikeluarkan pada Khamis, lapor Sputnik/RIA Novosti.

"Plaintif The New York Times Company (‘The New York Times’ atau ‘The Times’) dan wartawannya Julian E. Barnes (‘Barnes’) memfailkan tindakan itu untuk menghalang peruntukan dasar baharu Jabatan Pertahanan atau Jabatan Perang (‘Department’ atau ‘Pentagon’) yang baru dilaksanakan,” menurut aduan akhbar itu.

Iklan
Iklan

Saman itu berhujah bahawa peraturan media baharu Pentagon melanggar Pindaan Pertama dan Kelima Perlembagaan AS dengan menyekat kebebasan media dan menafikan hak proses sewajarnya kepada akhbar berkenaan.

Akhbar itu memohon agar mahkamah membatalkan bahagian dasar yang didakwanya tidak berperlembagaan.

Iklan

Sejak Oktober, Pentagon melaksanakan peraturan baharu yang memberi kesan besar kepada akses wartawan dan keperluan pelaporan. Lebih khusus lagi, dasar itu menyekat pergerakan tanpa pengiring di dalam bangunan dan mewajibkan kebenaran awal bagi penerbitan maklumat tidak sulit.

CNN bersama ABC News, CBS News, NBC News dan Fox News mengeluarkan kenyataan bersama mengecam peraturan baharu itu serta mengumumkan penolakan mereka terhadap garis panduan akses yang disemak semula. Akibatnya, hampir semua wartawan yang membuat liputan Pentagon dilihat meninggalkan bangunan itu bersama barang peribadi masing-masing pada lewat Oktober lepas. - Bernama

Iklan