IPR anjur 'Konvensyen Rakyat-Selamatkan Malaysia'

Iklan
Mohamed Azmin

SHAH ALAM - Ikatan Prihatin Rakyat (IPR) akan menganjurkan 'Konvensyen Rakyat - Selamatkan Malaysia' pada awal tahun depan bagi membincangkan isu kos sara hidup, dasar ekonomi, sistem pendidikan, keselamatan negara dan perpaduan rakyat.

Sekretariat IPR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, konvensyen yang turut menyentuh penekanan nilai murni dan perpaduan melalui kerangka dasar komprehensif itu akan melibatkan semua anggota dalam gabungan berkenaan.

Iklan
Iklan

Penganjuran konvensyen diumum Setiausaha Perikatan Nasional (PN) itu susulan mesyuarat IPR yang dipengerusikan Pengerusi, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada petang Rabu yang antara lain membincangkan trend sokongan rakyat Sabah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, minggu lalu.

"Keputusan dibuat oleh masyarakat perniagaan khususnya pengundi Cina yang menolak DAP dan Pakatan Harapan (PH) adalah isyarat bahawa rakyat mahukan perubahan signifikan untuk menjamin masa depan Malaysia.

Iklan

"IPR bersedia menawarkan kebijakan dan dasar progresif bagi menjana pertumbuhan ekonomi yang membawa kemakmuran serta kesejahteraan untuk semua," katanya menerusi kenyataan pada Khamis.

Ogos lalu media melaporkan, sebanyak 12 parti pembangkang bersetuju menubuhkan gabungan longgar bagi memperjuangkan isu rakyat yang didakwa gagal ditangani Kerajaan Madani.

Iklan

IPR dianggotai oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Pas, Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Parti Rakyat India Malaysia (MIPP), Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Parti Progresif Penduduk Malaysia (PPP), Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa), Parti Sosialis Malaysia (PSM), Parti Kemajuan Malaysia (MAP) dan Parti Perikatan India Muslim Nasional (Iman).