Rumah rakit 'berjasa' setiap kali banjir

Iklan
Husain berpuas hati rumah rakit mampu mengurangkan kerugian yang pernah ditanggung sebelum ini. - Foto Sinar Harian

KUANTAN – Rumah rakit yang dibina seorang pesara selepas banjir besar empat tahun lalu menjadi penyelamat pelbagai barangan rumah daripada musnah setiap kali musim tengkujuh.

Husain Mohamad, 57, berkata, idea membina rumah rakit seluas 36 meter persegi timbul hasil cadangan rakannya selepas melihat dia menanggung kerugian belasan ribu ringgit akibat banjir.

Iklan
Iklan

Berbekalkan modal RM7,000, bapa kepada empat anak itu menggunakan 18 tong plastik biru dan struktur besi kukuh supaya rumah rakit terapung secara automatik ketika air naik.

Husain menunjukkan tong biru yang dipasang pada rumah rakit. - Foto Sinar Harian

Iklan

"Rumah rakit ini hanya digunakan untuk menyimpan barangan rumah seperti perabot, peralatan elektrik dan sebagainya.

“Sudah tiga tahun rumah rakit ini berjasa... Setiap kali air naik, semua barang selamat. Sejak siap, tidak pernah saya tambah apa-apa pun dan ia masih kukuh,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di Kampung Telok Mahang berhampiran Sungai Belat, di sini pada Rabu.

Iklan

Husain - Foto Sinar Harian

Husain memberitahu, rumah rakit disiapkan dalam tempoh seminggu tanpa bantuan pihak luar, kecuali pertolongan anaknya ketika proses pemasangan.

Dia turut memanfaatkan pengalaman sebelum ini termasuk kerja berkaitan pembinaan dan pertukangan, bagi menyiapkan rumah rakit yang kekal sehingga kini.

Ruang yang terdapat dalam rumah tersebut mampu memuatkan peralatan elektrik dan perabot milik Husain sekiranya berlaku banjir. - Foto Sinar Harian

Husain menambah, sejak rumah rakit itu siap, ada kenalan meminta supaya rumah rakit serupa dibina di kawasan rumah mereka.

“Permintaan itu ada untuk buat rumah rakit sebiji macam ini untuk dia, tapi buat masa ini saya belum sempat lagi,” ceritanya.

Husain menunjukkan rumah rakit yang dibina berdekatan rumah bagi menyelamatkan pelbagai barangan rumah daripada musnah setiap kali musim tengkujuh di Kampung Telok Mahang berhampiran Sungai Belat di sini pada Rabu. - Foto Sinar Harian

Dalam pada itu, Husain berkata, walaupun rumahnya antara kawasan awal dinaiki air, namun kewujudan rumah rakit itu cukup melegakan.

“Sekarang ini saya tidak bimbang sangat, cuma risau kalau hujan lebat waktu pasang besar sebab rumah pam sini kadang-kadang tidak mampu sedut air keluar.

Husain memaklumkan 18 tong plastik biru diguna bagi membolehkan rumah yang dibina terapung setiap kali musim banjir. - Foto Sinar Harian

"Cuma kalau berlaku apa-apa pun, kita tetap bersedia dan rumah rakit ini penyelamat saya,” katanya.