Isu tanah Felda: Terengganu hantar notis amaran enam Ahli Lembaga Pengarah FGV

Iklan
Kerajaan Terengganu menghantar notis kepada enam Ahli Lembaga Pengarah FGV Holdings Berhad berhubung isu ladang di atas tanah milik negeri. Foto hiasan

KUALA TERENGGANU - Kerajaan Terengganu menghantar notis kepada enam Ahli Lembaga Pengarah FGV Holdings Berhad berhubung isu ladang yang diusahakan syarikat berkenaan atas tanah milik negeri.

Notis Amaran Pendudukan Secara Tidak Sah di bawah Seksyen 425 Kanun Tanah Negara (KTN) itu dihantar pada Rabu melalui serahan pos berdaftar AR Register dan e-mel.

Iklan
Iklan

Exco Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembanguan Desa Terengganu, Datuk Dr Azman Ibrahim berkata, tindakan itu diambil selepas FGV didapati terus mengusahakan tanah milik kerajaan negeri tanpa kebenaran yang sah walaupun diberi tempoh mencukupi untuk proses rundingan.

Beliau berkata, notis tersebut turut menjelaskan bahawa setiap ahli lembaga pengarah bertanggungjawab di bawah Akta Syarikat terhadap operasi dan keputusan yang membawa kepada kesalahan pencerobohan tanah kerajaan.

Iklan

"Seksyen 425 memperuntukkan hukuman denda sehingga RM500,000 atau penjara maksimum lima tahun, atau kedua-duanya sekiranya individu disabitkan kesalahan menceroboh tanah kerajaan.

“Pihak yang menerima notis diberi tempoh tiga hari untuk mengosongkan atau merobohkan sebarang struktur binaan di kawasan terlibat sebelum tindakan pentadbiran tanah diambil,” katanya menerusi kenyataan di laman sosialnya pada Rabu.

Iklan

Sementara itu, beliau turut memaklumkan Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (MMKN) pada Rabu bersetuju supaya wang bayaran yang pernah dibuat Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) pada tahun 2011 dipulangkan semula.

Jelasnya, bayaran berkenaan ditetapkan secara persetujuan sebelah pihak oleh Felda tanpa persetujuan kerajaan negeri.

"Ia tidak pernah direkodkan sebagai hasil negeri, sebaliknya dimasukkan ke dalam akaun amanah," katanya.

Jelas beliau, kerajaan negeri juga tidak pernah mengeluarkan Jadual 5A kepada Felda kerana terdapat syarat yang tidak dipatuhi termasuk keengganan badan itu berunding berhubung premium tanah yang sepatutnya ditetapkan berdasarkan jadual tersebut.

"Apa yang berlaku ialah mereka membuat bayaran mengikut kadar sendiri dan dalam masa sama mendesak kerajaan negeri supaya mengeluarkan geran hak milik. Ini tidak selari dengan proses perundangan tanah," katanya.

Menurutnya, proses perundangan berkaitan hak milik dan tuntutan tanah berkenaan sedang berjalan dan kerajaan negeri akan memastikan semua prosedur dipatuhi demi menjaga hak rakyat Terengganu.