KOTA BHARU – Kerajaan Kelantan meluluskan Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi permohonan lesen mendulang emas di bawah Seksyen 28 Enakmen Mineral 2001, sekali gus menetapkan hanya rakyat negeri ini sahaja dibenarkan memohon lesen berkenaan mulai Januari depan.
Timbalan Menteri Besar, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, bayaran lesen ialah RM100 untuk tempoh setahun dan perlu diperbaharui.
"Lesen tidak boleh dipindah milik dan setiap individu hanya dibenarkan memiliki satu lesen sahaja. Usia minimum pemohon lesen mendulang akan dimaklumkan nanti.
"Permohonan lesen boleh dibuat terus melalui PTG (Pejabat Tanah dan Galian) negeri atau di jajahan masing-masing," katanya semasa sidang akhbar selepas mesyuarat exco di Kota Darulnaim di sini pada Rabu.
Menurut beliau, aktiviti mendulang hanya dibenarkan dari jam 8 pagi hingga 6 petang di kawasan tanah kerajaan yang akan diwartakan di Gua Musang, Kuala Krai, Tanah Merah dan Jeli yang sudah dikenal pasti mempunyai potensi emas.
Ujarnya, aktiviti mendulang dilarang dilakukan semasa musim tengkujuh dan ia satu kesalahan.
Mohamed Fadzli memberitahu, emas yang diperoleh hanya boleh dijual kepada pembeli yang diiktiraf kerajaan negeri sahaja.
"Pembeli emas ini perlu memohon lesen dengan PTG kerana mereka akan terikat dengan pembayaran royalti kepada kerajaan negeri.
"SOP ini bagi membolehkan segala permohonan dilakukan secara teratur mengikut garis panduan baharu yang dibangunkan bagi menjaga kebajikan pendulang dan memastikan aktiviti itu tidak menjejaskan alam sekitar," katanya.
Menurut beliau lagi, beberapa syarat tambahan berkaitan pemeliharaan alam sekitar turut dimasukkan dalam SOP baharu berikutan kebimbangan terhadap risiko runtuhan tebing sungai dan kerosakan kawasan sekitar.
Jelasnya, SOP berkenaan turut bertujuan memastikan aktiviti mendulang lebih tersusun dan memberi manfaat kepada rakyat negeri ini.
“Walaupun mendulang ini sudah lama wujud, sebelum ini ia tidak terurus dari segi kebajikan pendulang, kawal selia alam sekitar dan hasil negeri.
"Dengan SOP ini, kita dapat mengetahui jumlah pendulang sebenar, menjadikan ia sumber hasil negeri serta membuka peluang pekerjaan sampingan atau tetap kepada rakyat," katanya.
Dalam perkembangan sama, kata beliau, mereka yang ingin mendulang di tanah milik sendiri juga diwajibkan memiliki lesen kerana aktiviti tersebut tetap tertakluk di bawah kategori mendulang.
Mohamed Fadzli memberitahu, kerajaan mahu memberi peluang ini dinikmati rakyat sendiri, bukan hanya syarikat besar.