Masuk Malaysia dengan pas sosial, rupa-rupanya sindiket forex, cabutan bertuah

Iklan
Shazeli menunjukkan warga China yang ditahan menerusi serbuan ke atas sindiket penipuan dalam talian di Sepang 26 November lalu.

 

SHAH ALAM – Sindiket penipuan cabutan bertuah dan forex yang melibatkan warga China dengan berselindung di sebalik pas lawatan sosial dan pas kerja untuk memasuki Malaysia bagi melakukan operasi pusat panggilan berjaya ditumpaskan di Sunsuria City, Sepang baru-baru ini.

Iklan
Iklan

Dua serbuan dijalankan sepasukan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Selangor bersama Bahagian Siasatan Jenayah Komersial (BSJK) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang pada 26 November lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, serbuan pertama pada jam 1 petang melibatkan sindiket penipuan cabutan bertuah dalam talian dengan tangkapan 14 warga China termasuk empat wanita.

Iklan

Menurutnya, serbuan kedua pada jam 5 petang pula membabitkan sindiket penipuan forex dalam talian dengan tangkapan 10 warga China termasuk tiga wanita.

Shazeli (kiri) menunjukkan barang kes jenayah penipuan dalam talian yang dirampas hasil tindakan ke atas sindiket warga China 26 November lalu.

Iklan

 

“Siasatan awal mendapati kedua-dua kes ini merupakan sindiket yang berlainan yang menyasarkan warga China sebagai mangsa.

“Dipercayai ahli sindiket terbabit masuk ke Malaysia melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sejak Jun lalu menggunakan pas lawatan sosial dan pas kerja.

“Semakan juga sedang dibuat dengan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) bagi mengesahkan ketulenan dokumen mereka,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor pada Selasa.

Beliau berkata, modus operandi sindiket ialah menggunakan aplikasi ‘QQ’ sebagai platform e-iklan bagi mendorong mangsa membeli nombor bertuah yang menjanjikan hadiah wang tunai sedangkan ia tidak wujud.

Bagi sindiket forex pula, pada peringkat awal, sindiket mencari mangsa melalui aplikasi ‘Tonghuasin’ sebelum menggunakan Telegram bagi urus niaga.

“Mangsa yang dijanjikan pulangan keuntungan akan diperdaya setelah wang modal pelaburan diserahkan,” ujarnya.

Tambahnya, rampasan bagi kedua-dua kes berjumlah RM60,000 melibatkan barangan seperti komputer riba, telefon bimbit serta penghala.

Justeru, orang ramai digesa menyalurkan maklumat kepada pihak polis sekiranya mengesan mana-mana individu atau kumpulan mencurigakan di kawasan kediaman dan premis perniagaan bagi tindakan pencegahan.