DUNGUN – Polis menahan 157 buah motosikal selepas menumpaskan beberapa kumpulan samseng jalanan yang dikesan menjadikan kawasan sekitar bandar di sini sebagai litar bagi melakukan aksi berbahaya dalam Ops Samseng Jalanan pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintenden Maizura Abdul Kadir berkata, dalam operasi yang bermula jam 6 petang itu, sebanyak 259 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan trafik.
Menurutnya, tindakan berkenaan diambil hasil risikan serta aduan penduduk setempat yang terganggu dengan aktiviti kumpulan terbabit.
“Operasi dijalankan di Jalan Batu 49 hingga Lampu Isyarat Alor Tempoyak serta Jalan Lapangan Terbang Sura Hujung.
“Sebanyak 157 motosikal ditahan membabitkan penunggang berusia antara 15 hingga 30-an,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi operasi di sini.
Beliau berkata, operasi itu berakhir kira-kira jam 2 pagi dan kesemua motosikal yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dungun untuk tindakan lanjut.
Dalam pada itu, Maizura berkata, antara kesalahan yang dikesan termasuk tiada lesen memandu, pengubahsuaian struktur motosikal, penggunaan ekzos bising serta cukai jalan tamat tempoh.
“Polis akan terus mempergiat operasi seumpama ini bagi membendung aktiviti samseng jalanan serta memastikan keselamatan pengguna jalan raya dan ketenteraman awam,” katanya.