PETALING JAYA – Seorang wanita tempatan dilaporkan hilang selepas kali terakhir dilihat di sebuah kondominium berhampiran Jalan Profesor Diraja Ungku Aziz, Seksyen 14, di sini, Selasa lalu.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kehilangan wanita itu pada jam 10.34 malam.
"Individu terbabit dikenali sebagai Nawal Shahirah Mohd Jamil, berusia 23 tahun dilaporkan hilang pada hari sama.
"Wanita itu mempunyai ketinggian kira-kira 170 sentimeter, berat 65 kilogram, berkulit hitam manis, berbadan sederhana serta berambut panjang berwarna hitam," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Menurutnya, pakaian terakhir mangsa adalah baju berwarna kelabu gelap dan seluar panjang.
"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat diminta supaya tampil membantu siasatan dengan hadir ke balai polis berhampiran.
"Maklumat juga boleh disalurkan dengan menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Ngo Su Siao di talian 016-923 1558 atau 03-7874 2222 / 03-7966 2222,” katanya.