JAKARTA – Penularan klip yang memaparkan lafaz kalimah tauhid digunakan sebagai iringan tarian dalam program realiti Dangdut Academy 7 pada 25 November 2025 mencetuskan kontroversi dalam kalangan masyarakat, sekali gus memaksa stesen televisyen Indosiar tampil memohon maaf secara terbuka.
Insiden itu berlaku ketika seorang penggiat seni dari Madura, Boger Bojinov, mempersembahkan aksi tarian keseimbangan diiringi lagu tradisional Madura berjudul Aduh Kacong Bekna Sengak, yang kemudiannya didapati mengandungi alunan lafaz kalimah tauhid.
Menyedari perkara itu, kru produksi bertindak menghentikan muzik serta-merta sebelum menggantikannya dengan lagu lain.
Namun, tindakan pantas tersebut tidak menghalang rakaman pendek insiden berkenaan daripada tular di media sosial sehingga menimbulkan pelbagai reaksi awam.
Dalam siaran 26 November 2025, dua hos rancangan itu, Ramzy dan Gilang Dirga, menyampaikan permohonan maaf secara terbuka kepada orang ramai dan umat Islam atas kekhilafan berkenaan.
Sebagai langkah susulan, delegasi Indosiar mengadakan kunjungan rasmi ke ibu pejabat Majlis Ulama Indonesia (MUI) di Menteng, Jakarta Pusat pada 27 November 2025.
Rombongan itu diketuai Setiausaha Korporat Surya Citra Media (SCM), Gilang Iskandar, bersama beberapa pegawai kanan termasuk Pengarah IEP, Ubey, dan Naib Presiden Pemerolehan Program Indosiar, Linda Wibisono.
Kehadiran mereka disambut oleh pimpinan tertinggi MUI terdiri daripada Pengerusi Hal Ehwal Informasi dan Komunikasi, KH Masduki Baidlowi; Pengerusi Dakwah, KH Abdul Manan Ghani; serta Penolong Setiausaha Agung Dakwah, KH Arif Fahruddin.
Menurut KH Masduki, tujuan kunjungan itu adalah untuk memberikan penjelasan terperinci berhubung insiden yang berlaku.
“MUI memahami bahawa kejadian tersebut tidak disengajakan dan berlaku di luar kawalan pihak Indosiar. Penjelasan yang diberikan amat menenangkan dan tiada isu kontroversi berbangkit,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa sejurus insiden berlaku, Gilang telah menghubunginya melalui mesej dan panggilan WhatsApp sebagai usaha segera memberikan penjelasan walaupun ketika itu beliau berada di Bandung.
MUI menasihati semua stesen televisyen agar lebih peka, khususnya ketika menyiarkan program secara langsung yang melibatkan unsur keagamaan.
Dalam pertemuan itu, Gilang Iskandar menyerahkan surat permohonan maaf rasmi yang ditandatangani Presiden Pengarah Indosiar, Imam Sudjarwo.
“Indosiar memohon maaf kepada seluruh umat Islam atas kekhilafan dalam siaran pada 25 November 2025,” kata Gilang.
Beliau menjelaskan pihaknya bersyukur permohonan maaf itu diterima baik oleh MUI selain menerima nasihat yang membina.
“MUI mengingatkan bahawa dakwah tidak terhad kepada ceramah semata-mata. Program televisyen juga boleh menjadi medium dakwah, maka kandungannya perlu dijaga sebaiknya,” jelas beliau.
Gilang menegaskan komitmen Indosiar untuk lebih berhati-hati dalam setiap produksi, khususnya siaran langsung, serta terus menghasilkan kandungan hiburan yang bermanfaat kepada masyarakat.
“Kami menghargai panduan dan teguran MUI agar program kami terus diperbaiki dan membawa kebaikan kepada penonton,” katanya. – Agensi