Pegawai polis maut, lebih 15 cedera 'buaian tsunami' runtuh

Iklan
Keadaan buaian yang runtuh di Pesta Antarabangsa Surajkund, Haryana, pada Sabtu. Foto Agensi

FARIDABAD – Seorang pegawai polis maut manakala lebih 15 individu cedera selepas sebuah permainan hiburan dikenali sebagai ‘buaian tsunami’ runtuh secara tiba-tiba di Pesta Antarabangsa Surajkund, Haryana, pada Sabtu.

Mangsa yang terkorban dikenal pasti sebagai Inspektor Jagdish Prasad yang dilaporkan bergegas ke lokasi kejadian untuk membantu mangsa lain sebelum terkena hentaman struktur permainan tersebut.

Iklan
Iklan

Beliau disahkan meninggal dunia ketika tiba di hospital akibat kecederaan parah di bahagian kepala dan muka.

Menurut pihak berkuasa daerah, kejadian berlaku kira-kira jam 6.15 petang waktu tempatan, apabila permainan berkenaan dipercayai mula condong sebelum runtuh sepenuhnya, menyebabkan pengunjung tercampak dan terperangkap di bawah runtuhan.

Iklan

Timbalan Pesuruhjaya Faridabad, Ayush Sinha berkata, kesemua mangsa cedera telah dikejarkan ke hospital berhampiran dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

Siasatan akan dijalankan dan laporan polis (FIR) akan didaftarkan terhadap pengendali permainan tersebut.

Iklan

Insiden itu turut mencetuskan kebimbangan orang ramai terhadap aspek keselamatan dan penyelenggaraan permainan di pesta berkenaan, yang dijadualkan berlangsung dari 31 Januari hingga 15 Februari.

Pesta Antarabangsa Surajkund menghimpunkan lebih 1,000 penggiat kraf tempatan dan antarabangsa.

Ketua Menteri Haryana, Nayab Saini menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan memberi jaminan bahawa kerajaan negeri akan memastikan bantuan serta rawatan terbaik diberikan kepada semua yang terlibat dalam insiden berkenaan. - Agensi