BUENOS AIRES – Satu ekspedisi laut dalam di perairan Atlantik Selatan di luar pesisir Argentina berjaya merakam kemunculan ubur-ubur gergasi yang jarang ditemui.
Dikenali sebagai Stygiomedusa gigantea atau 'ubur-ubur hantu gergasi' ia boleh membesar sehingga sepanjang sebuah bas sekolah.
Rakaman video oleh Schmidt Ocean Institute menunjukkan hidupan laut luar biasa itu berenang pada kedalaman kira-kira 250 meter di bawah permukaan laut, sekali gus mencuri perhatian komuniti saintifik antarabangsa.
Menurut institut berkenaan, spesies tersebut amat jarang ditemui dan mempunyai tentakel berwarna merah jambu lembut yang panjangnya boleh mencecah 10 meter, manakala bahagian 'locengnya' boleh membesar sehingga satu meter diameter.
Penemuan itu dibuat dalam satu ekspedisi penyelidikan yang diketuai saintis Argentina, meliputi keseluruhan pesisir negara itu dari Buenos Aires hingga ke perairan berhampiran Tierra del Fuego baru-baru ini.
Selain ubur-ubur gergasi tersebut, pasukan penyelidik turut merekodkan 28 spesies laut baharu yang turut menemui terumbu karang Bathelia candida terbesar yang pernah diketahui, serta beberapa kompleks terumbu laut dalam yang kaya dengan biodiversiti.
Penyelidik dari Instituto Argentino de Oceanografía, Dr Melisa Fernández Severini, berkata, sampel kimia, fizikal dan biologi yang dikumpulkan akan membantu memahami hubungan ekosistem laut Argentina dalam jangka panjang, selain menilai tahap kerentanan habitat ekstrem itu.
Berbeza dengan kebanyakan ubur-ubur lain, Stygiomedusa gigantea tidak mempunyai tentakel penyengat, sebaliknya menggunakan 'lengannya' yang panjang untuk menangkap mangsa, termasuk ikan kecil yang kelihatan berenang berhampiran dalam rakaman tersebut.
Penemuan itu sekali lagi menonjolkan betapa luas dan misterinya ekosistem laut dalam, yang masih menyimpan pelbagai spesies luar biasa belum diterokai sepenuhnya oleh manusia.-Agensi