Penduduk guna pam air sendiri elak banjir lebih buruk

Iklan
Sebahagian penduduk kampung yang terlibat bergilir-gilir memastikan pam air berfungsi apabila diperlukan untuk memastikan banjir tidak teruk berlaku.

BAGAN DATUK – Inisiatif penduduk berhampiran kunci air di Parit 1, Sungai Sumun di sini berjaya mengurangkan impak banjir selepas mereka menggunakan pam air milik seorang penduduk bagi mempercepat aliran keluar air ke laut.

Pemilik pam berkenaan, Muaz Adli Ramlee, 41, berkata, penduduk telah bersiap siaga sebaik menerima amaran awal berhubung risiko banjir di kawasan itu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, masalah utama sebelum ini ialah kunci air yang tidak dapat berfungsi baik akibat paras lumpur terlalu tinggi menyebabkan air banjir tidak dapat keluar dengan lancar.

Muaz menunjukkan pam air yang digunakan untuk mengeluarkan air banjir ke laut berhampiran kunci air Parit 1 di sini pada Ahad.

Iklan

"Awal kejadian Isnin lepas, air dah mula naik tetapi kunci air tidak banyak membantu kerana kapasiti air dari estet bertembung dengan air dari kampung. Bila pintu air ditutup, air naik semula.

"Jadi orang kampung cadang gunakan pam air saya yang biasanya dipasang di kolam memancing. Saya setuju dan kami pasang berhampiran kunci air. Walaupun bukan teknologi tinggi, ia mudah alih dan Alhamdulillah berfungsi dengan baik,” katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Ahad.

Iklan

Muaz berkata, sejak enam hari lalu, penduduk bergilir-gilir menghidupkan pam berkenaan setiap kali air laut pasang sehingga kunci air ditutup, dan menghentikannya apabila air surut.

"Dari petang sampai pagi, 10 hingga 15 sukarelawan akan pantau pam ini. Penduduk pun kumpul duit beli minyak dan hantar makanan. Kerjasama kampung memang luar biasa.

"Memang kita tahu pam ini tak boleh keringkan banjir sepenuhnya, tapi sekurang-kurangnya dapat kurangkan risiko lebih buruk. Kawasan ini pun tak seteruk tempat lain,” katanya.

Katanya, sebanyak 10 kampung dari Parit Dayang hingga Parit 9 Sungai Sumun mendapat manfaat melalui inisiatif dilakukan penduduk dengan mengalirkan air ke Kunci Air Parit 1.

Bagi penduduk, Suhaimi Shukor, 46, usaha itu memberi harapan kepada mereka untuk terus bertahan menghadapi banjir.

"Memang idea yang baik. Penduduk pun beri kerjasama dan tak rasa penat sebab bergilir-gilir jaga. Kawasan ini meriah sebab jadi tempat orang kampung berkumpul sambil memantau pam.

"Alhamdulillah wakil Pejabat Ahli Parlimen dan Pejabat Daerah pun datang tengok usaha kami. Hasil usaha ini, rumah dan kebun di sini pun tidak banyak terjejas kecuali kawasan rendah sahaja," katanya.

Seorang lagi penduduk, Normahadi Abas, 57, berharap pihak berkuasa lebih tegas memastikan penyenggaraan kunci air dan sistem saliran dilakukan secara berkala.

"Parit di sini datuk saya buat sejak 1975. Saya tahu selok-belok pengairan di kawasan ini. Masalah sekarang sebab tak cukup kerja penyelenggaraan. Bila lambat cuci, memang tenggelam.

"Tak guna buat kunci air berjuta-juta kalau tak diselenggara. Pam hanya bantu, tapi fungsi utama tetap kunci air. Kalau semua kunci air di Bagan Datuk berfungsi baik, banjir tak seteruk ini,” katanya.

Penduduk berharap usaha gotong-royong mereka ini dapat membuka mata pihak berwajib untuk memperbaiki segera kunci air bermasalah agar banjir dapat dikurangkan pada masa akan datang.