KOTA KINABALU – Keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-17 Sabah mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan rakyat di negeri itu.
Tinjauan Sinar Harian mendapati, rata-rata penduduk yang ditemui meluahkan rasa gembira dan bangga terhadap keputusan keseluruhan pilihan raya negeri itu.
Bagi Hamid Ahad, 39, yang pulang ke Labuan bersama keluarga untuk mengundi, pengorbanan kos perjalanan berbaloi kerana keputusan kali ini membawa harapan baharu.
Menurutnya, keputusan PRN tersebut menunjukkan parti-parti tempatan Sabah semakin mendapat tempat di hati rakyat.
"Rakyat Sabah sudah benar-benar berfikir sekarang. Kita mahu sama macam Sarawak. Kita tidak peduli parti itu daripada mana, yang penting parti itu daripada Sabah sendiri.
"Memang ini cukup menggembirakan sebab lokal Sabah, parti Sabah," katanya ketika ditemu bual pada Ahad.
Seorang aktivis Sabah, Milin Biok Junior, 47, turut menggambarkan keputusan itu sebagai satu referendum jelas bahawa rakyat mahu negeri ditadbir parti tempatan.
Bagaimanapun, beliau kecewa apabila melihat parti-parti tempatan masih bergaduh dan enggan bersatu.
"Kita mahu pemimpin parti politik cukuplah bergaduh sesama Sabahan punya parti bah...Jadi kami mahu pemimpin parti politik tempatan Sabah tak kira GRS atau Warisan.
"Dua blok yang besar, GRS mempunyai 29 kerusi dan Warisan 25 boleh bersatu. Kenapa masih lagi berpecah bah?
"Kami mahukan pemimpin politik matang bah... Kita tidak mahu pemimpin terus bergaduh kerana ego. Mungkin kerana kamu ada perselisihan faham dahulu, sampai bila kita bergaduh?," soalnya.
Menurutnya, lebih baik semua parti lokal yang menang membentuk kerajaan kerana itulah yang sepatutnya diharapkan rakyat Sabah.
Terdahulu, keputusan PRN Ke-17 Sabah menyaksikan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) memperoleh 29 kerusi, Warisan (25), Barisan Nasional (BN) enam kerusi, Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) tawan tiga DUN.
Sementara itu, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) menang dua kerusi diikuti Perikatan Nasional (PN), Parti Kesejahteraan Demokratik Kebangsaan (KDM) dan Pakatan Harapan (PH) masing-masing satu kerusi DUN.