SUNGAI PETANI – Polis telah melengkapkan siasatan berhubung insiden buli melibatkan sebuah sekolah menengah berasrama di daerah ini dan kini menunggu arahan lanjut daripada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan susulan.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Han Yan berkata, pelajar lelaki berusia 16 tahun yang sebelum ini telah direman bagi membantu siasatan dibebaskan dengan jaminan polis secara lisan selepas tempoh reman tamat.
Menurutnya, kertas siasatan lengkap diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya Kedah dan pihaknya menunggu keputusan seterusnya sama ada akan ada pertuduhan atau arahan tambahan.
“Kami telah melengkapkan siasatan mengikut semua aspek termasuk keterangan mangsa, saksi dan suspek. Kertas siasatan telah dirujuk kepada pihak pendakwa raya untuk tindakan lanjut,” katanya pada Ahad.
Sebelum ini, media melaporkan dalam kejadian pada 24 November lalu, seorang pelajar berusia 16 tahun didakwa dipukul sekumpulan pelajar di asrama sekolah hingga menyebabkan mangsa rebah sebelum menerima rawatan akibat lebam di bahagian perut.
Susulan itu, polis menahan empat pelajar untuk membantu siasatan dan mereka dibawa ke Mahkamah Sungai Petani pada 27 November lalu untuk permohonan reman.
Seorang daripada suspek berusia 16 tahun direman selama tiga hari, manakala tiga lagi berusia antara 16 hingga 17 tahun dibebaskan selepas permohonan reman ditolak.
Berdasarkan laporan awal, insiden berlaku akibat rasa tidak puas hati selepas mangsa didakwa mengata salah seorang suspek di belakang, menyebabkan suspek bersama tiga rakannya mencari mangsa hingga tercetus pergaduhan dalam asrama.
Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 507 Kanun Keseksaan.