Menjulang warisan negara: Pencapaian tiga agensi utama KPN

Iklan
Program Citra Nusa@Muzium ASEAN Natives and Indigenous Festival 2025 menghimpunkan komuniti orang asal dan peribumi dari Malaysia serta negara ASEAN dalam usaha memperkasa warisan budaya serantau.

SHAH ALAM - Pemeliharaan, pengumpulan, dan memasyarakatkan khazanah warisan negara terus diperkasa melalui pencapaian ketiga-tiga agensi utama di bawah Kementerian Perpaduan Negara (KPN).

Arkib Negara Malaysia (ANM), Jabatan Muzium Malaysia (JMM) dan Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) telah melaksanakan pelbagai inisiatif inovatif yang meningkatkan akses masyarakat kepada khazanah negara serta memodenkan perkhidmatan mereka untuk generasi kini dan akan datang.

Iklan
Iklan

Memasyarakatkan arkib dan memelihara khazanah

ANM terus memperkukuh peranannya sebagai pengumpul, penyimpan dan pemelihara khazanah warisan negara.

Iklan

Melalui inisiatif ‘memasyarakatkan arkib’ di bawah pimpinan Menteri KPN, Datuk Aaron Ago Dagang, jumlah pengunjung meningkat secara signifikan daripada 347,713 pada 2023 kepada 498,038 pada 2024 serta seramai 725,346 setakat September 2025.

Pelbagai program utama telah berjaya dilaksanakan termasuk pelancaran Arkib Komuniti, yang melibatkan masyarakat dalam pengumpulan bahan sejarah.

Iklan

Selain itu, Majlis Sejarawan Negara telah ditubuhkan buat julung kalinya manakala Majlis Mengenang Negarawan dilaksanakan bagi mendidik anak muda tentang pengorbanan tokoh-tokoh besar negara seperti Tunku Abdul Rahman, Tun V.T. Sambanthan, Tun Jugah dan Tun Abdullah Ahmad Badawi.

ANM turut menempatkan kira-kira empat juta bahan arkib, termasuk fail, perjanjian, laporan, gambar, peta, surat khabar, teks ucapan dan pelbagai dokumen bersejarah yang unik dan tidak ternilai.

Ketika ini lebih 436,000 bahan telah didigitalkan dengan hampir 11.5 juta imej boleh diakses untuk tujuan penyelidikan dan rujukan umum.

Begitu juga rekod-rekod sebelum kemerdekaan, koleksi rekod zaman darurat, zaman Pendudukan Jepun dan koleksi rekod zaman pentadbiran British.

Penyelidikan dan rujukan ke atas koleksi rekod-rekod tersebut penting untuk kita mengetahui serta memahami keadaan politik, ekonomi dan sosial Tanah Melayu ketika itu.

Koleksi rekod-rekod tersebut telah menarik ribuan penyelidik dalam dan juga luar negara.

Muzium untuk rakyat

Lawatan para pelajar ke Memorial Negarawan di bawah seliaan Arkib Negara Malaysia, ia ditubuhkan untuk memperingati dan mengenang segala jasa serta sumbangan tokoh-tokoh negarawan.

Dengan 218 muzium di seluruh negara termasuk 22 Muzium Persekutuan dan 65 muzium swasta, muzium-muzium ini secara konsisten menerima antara dua hingga tiga juta pengunjung setiap tahun, termasuk pelancong antarabangsa menunjukkan muzium masih menjadi destinasi penting walaupun persaingan dengan tarikan pelancongan lain.

Jabatan Muzium Malaysia (JMM) terus memartabatkan peranan muzium sebagai pusat pendidikan, budaya dan komuniti menekankan konsep ‘muzium untuk rakyat’.

Program interaktif seperti Citra Nusa @ Muzium dan Fiesta Uniti @ Muzium berjaya memikat masyarakat dengan aktiviti yang menyentuh cita rasa rakyat, termasuk festival kartun perpaduan, pesta kopi, pameran nostalgia kampung dan pengalaman budaya tempatan.

Selain itu, tahun ini juga Muzium Negara memperkenalkan sistem cashless museum, selaras dengan era digital serta meningkatkan kemudahan dan aksesibiliti pengunjung.

JMM juga memanfaatkan Inisiatif Pendigitalan Khazanah Warisan Negara RP5 Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) sebanyak RM5 juta, termasuk pembangunan pameran digital, pameran maya dan sistem pendaftaran elektronik MUSECORE yang menguruskan 437,180 koleksi artifak dan spesimen.

Melalui sistem ini, setiap artifak dan spesimen direkod, dipelihara dan dipantau untuk tujuan penyelidikan, pendidikan serta pameran.

Program baharu seperti Kurator Muda bakal diperkenalkan untuk mendidik golongan muda tentang kerja kuratorial dari pemeliharaan artifak hingga pembangunan pameran interaktif.

Aktiviti ini dirancang susulan kejayaan Kem Konservator Muda yang melibatkan pelajar universiti secara langsung dalam pengurusan dan pemuliharaan khazanah negara.

Di samping itu, JMM sedang meningkatkan kualiti muzium bertaraf nasional seperti Muzium Negara, Muzium Diraja, Muzium Tekstil Negara dan Muzium Perak agar mencapai standard world-class museum setanding muzium serantau.

Usaha itu seiring dengan pembangunan modal insan melalui Skim Kurator, penggunaan teknologi baharu dan kolaborasi dengan sektor swasta serta industri kreatif, menjadikan muzium bukan sekadar tempat pameran tetapi pusat pengalaman interaktif dan pembelajaran berteraskan teknologi terkini.

Transformasi digital dan pembelajaran imersif

Tahun ini, PNM terus memodenkan perkhidmatan melalui pelbagai program yang menarik minat masyarakat termasuk Karnival Baca Perdana, Festival Kaligrafi Perpaduan, Baucar Buku Semarak Membaca dan Festival Seni Sastera Kanak-Kanak.

PNM juga telah mendigitalkan 74,504 judul khazanah warisan, bersamaan 4.43 juta muka surat yang boleh diakses melalui MyRepositori.

Inisiatif strategik lain yang digerakkan tahun ini adalah termasuk pembangunan Pusat Pembelajaran Imersif dan Metaverse, penggunaan teknologi AR/VR, hologram, panel interaktif serta aplikasi robotik dalam perkhidmatan perpustakaan.

Sistem Single Sign On (SSO) bagi perkhidmatan digital u-Pustaka dan pembangunan Galeri Maya Kebitaraan Malaysiana menjadikan perpustakaan relevan kepada generasi kini dan akan datang, meningkatkan pengalaman pembelajaran interaktif yang mendalam.

Sejajar dengan itu, PNM sedang melaksanakan beberapa inisiatif strategik termasuk Pendigitalan Koleksi Khazanah Warisan Negara; Penyediaan Perkhidmatan Ruang Metasemesta (Metaverse Space) Perpustakaan; Pembangunan Galeri Maya Kebitaraan Malaysiana; Aplikasi teknologi robotik dalam perkhidmatan perpustakaan; Penyediaan SSO bagi perkhidmatan u-Pustaka dan Langganan Sistem Perpustakaan Bersepadu Baharu.

Inisiatif-inisiatif ini menandakan komitmen berterusan PNM untuk memastikan perpustakaan kekal relevan, inovatif dan berupaya memenuhi kehendak masyarakat pada era digital.

Ketiga-tiga agensi itu membuktikan bahawa khazanah warisan negara bukan sekadar disimpan tetapi dimasyarakatkan, dihidupkan dan diakses oleh rakyat.

Inovasi, digitalisasi dan penglibatan masyarakat menjadi kunci untuk memastikan khazanah negara relevan, dihargai, mampu membentuk identiti serta perpaduan nasional.

Pencapaian ini menunjukkan komitmen berterusan dalam memelihara sejarah, memperkasakan warisan dan menghubungkan generasi kini dengan akar budaya serta sejarah negara.