KOTA BHARU - Gelombang pertama banjir di Kelantan semakin pulih dengan jumlah mangsa ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) menunjukkan penurunan ketara kepada 1,987 individu pada petang Sabtu berbanding 5,451, sehari sebelumnya.
Tiga daerah masih terjejas ialah Pasir Mas, Gua Musang dan Tumpat.
Menurut InfoBencanaJKM, Pasir Mas menunjukkan peningkatan mangsa daripada 217 orang kepada 1,604 orang di lima PPS.
Di Gua Musang pula jumlah mangsa meningkat dari tujuh kepada 29 di satu PPS.
Tumpat bagaimanapun mencatatkan penurunan mangsa dari 3,391 orang kepada 354 orang di dua PPS.
Daerah lain pula sudah tiada mangsa.
Sementara itu, keadaan cuaca mendung di semua daerah di negeri ini dan hanya gerimis sekali-sekala.
Dalam perkembangan lain, Pasukan Bantuan Tindakan Kecemasan Pertahanan Awam (CDA-ERT) Ketereh mengambil tindakan segera melatih 10 anggota baharu sebagai persediaan menghadapi gelombang kedua Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka tidak lama lagi.
Komander Komander Pasukan, Leftenan Kolonel Bersekutu (PA) Nik Saiful Adli Burhan berkata, gelombang pertama minggu lalu membawa hujan dan ribut luar biasa sehingga banyak PPS dibuka di daerah Kota Bharu, namun Ketereh tidak terjejas.
Menurutnya, banjir di Ketereh biasanya bermula ketika gelombang kedua apabila longkang dan sungai mulai penuh serta tidak mampu menampung hujan berterusan, terutama di Peringat, Melor, Kadok dan Kok Lanas yang sering melibatkan pembukaan lima hingga 10 PPS.
“Latihan kali ini memberi fokus kepada pengurusan mangsa, operasi PPS, pemasangan khemah dan asas pertolongan cemas.
“Langkah persediaan ini wajar berikutan peningkatan tahap serius bencana tahun lalu serta perubahan cuaca global yang menyaksikan kejadian luar jangkaan sepanjang tahun ini,” katanya.
Latihan dikendalikan Lans Koperal Ahmad Akhram Naim dan pembantu perubatan, Khairul Nizam Rosli serta turut dihadiri Ketua Kompeni Perubatan CDA-ERT Ketereh, Leftenan Kolonel Bersekutu Dr Nurul Ain Razali.