'Saya hilang anak yang sangat baik'

Iklan
Suasana pilu menyelubungi Tanah Perkuburan Islam Chemor selepas kedua-dua jenazah disemadikan.

IPOH - Pemergian anak sulung dalam keluarga akibat kemalangan ngeri digilis lori dalam kejadian di Jalan Kuala Kangsar di sini pada Jumaat amat dirasai seorang bapa.

Bagi Aidil Azhar Che Dan, 41, anaknya, Nur Alisa Maisara, 15, seorang yang baik serta rajin.

Iklan
Iklan

Menurutnya, anak tunggal perempuan itu rajin menyediakan makanan serta minuman.

"Arwah selalu tanya saya kalau lapar nak makan apa sebab dia nak masak.

Iklan

"Malah setiap kali balik kerja, dah tersedia air minum untuk saya," katanya ketika ditemui Sinar Harian di Tanah Perkuburan Islam Chemor di sini pada Jumaat.

Aidil Azhar berkata, kali terakhir mereka bersembang pada malam Khamis apabila Allahyarham meminta RM10 untuk membayar barang yang dipesan secara dalam talian.

Iklan

Menurutnya, dua adik lelaki arwah masing-masing berusia 13 tahun dan lapan tahun paling terasa kehilangan selain ibunya.

Jelasnya, malam sebelum meninggal dunia mereka sempat bermain bersama-sama dan bergurau senda.

Katanya, ketika kejadian Allahyarham membonceng motosikal menemani rakannya, Nur Aleesya Alya Mohd Hasrizal, 15, yang turut maut dalam kejadian itu ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tasek Damai.

Sementara itu, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Tasek Damai, Ahmad Syafiq Arifin menyifatkan pemergian kedua-dua pelajar tersebut sebagai satu kehilangan besar buat warga sekolah.

Menurutnya, mereka ditawarkan melanjutkan pelajaran ke sebuah kolej vokasional dan dijangka mendaftar masuk minggu hadapan.

Jelasnya, pihak PIBG dan sekolah menawarkan bantuan kepada kedua-dua keluarga yang ditimpa musibah berkenaan.

Katanya, segala pengurusan jenazah diuruskan dengan bantuan Pejabat Ahli Parlimen Tambun serta Pejabat Pegawai Khas Menteri Besar bagi Dewan Undangan Negeri Manjoi.