DI MALAYSIA, beberapa lebuh raya bertol dilaporkan mengalami kerugian pada peringkat awal operasi.
Namun, keadaan ini tidak bermaksud projek tersebut gagal atau tidak berpotensi untuk menguntungkan dalam jangka panjang.
Pembinaan lebuh raya merupakan proses kompleks yang memerlukan perbelanjaan modal (capital expenditure) besar dalam tempoh bertahun-tahun, dan prestasi kewangan pada fasa awal lazimnya tidak mencerminkan kekuatan sebenar sesebuah projek.
Mengapa kerugian perakaunan berlaku pada peringkat awal operasi lebuh raya bertol?
Pertama, kos permulaan yang tinggi dan beban kewangan struktur pembinaan lebuh raya memerlukan pelaburan besar yang melibatkan kerja pembinaan, tenaga kerja, bahan binaan, dan kos overhed.
Skala perbelanjaan ini kebiasaannya memerlukan pembiayaan hutang yang tinggi bagi memastikan projek dapat disiapkan.
Kedua, kos faedah pinjaman yang besar pada awal tempoh operasi meningkatkan beban kewangan tahunan syarikat konsesi.
Ketiga, susut nilai dan pelunasan. Sebaik sahaja infrastruktur siap, aset tersebut mula disusut nilai (depreciation) dan dilunaskan (amortisation).
Kos susut nilai adalah tinggi pada awal usia aset. Faktor ini, ditambah pula dengan faedah hutang yang besar, menyumbang secara langsung kepada kerugian yang dilaporkan dalam penyata pendapatan pada tahun-tahun permulaan.
Penting untuk difahami ialah susut nilai dan pelunasan adalah perbelanjaan bukan tunai (non-cash expenses). Ia direkodkan sebagai perbelanjaan dalam akaun untuk mencerminkan kehausan aset, tetapi ia tidak melibatkan pengeluaran wang tunai sebenar pada tahun tersebut.
Oleh itu, syarikat konsesi mungkin masih mempunyai aliran tunai operasi yang sihat, walaupun secara perakaunan, ia melaporkan kerugian disebabkan rekod perbelanjaan bukan tunai yang tinggi ini.
Keempat, kitaran pertumbuhan trafik dan hasil yang progresif pendapatan lebuh raya bergantung kepada pertumbuhan trafik yang meningkat secara beransur-ansur.
Pada fasa awal operasi, gabungan kos faedah pinjaman dan pelunasan aset yang tinggi menjadikan kerugian kewangan sesuatu yang dijangka. Pembaca perlu sedar bahawa projek infrastruktur memerlukan masa untuk membina momentum trafik.
Kelima ialah fasa matang. Keuntungan perakaunan biasanya mula meningkat secara progresif apabila jumlah trafik bertambah, hasil kutipan tol meningkat, dan kos faedah pinjaman berkurangan seiring dengan pembayaran balik hutang.
Disebabkan faktor-faktor ini, kerugian awal merupakan sebahagian daripada kitaran hayat kewangan semula jadi projek infrastruktur jangka panjang, iaitu tempoh perbelanjaan besar pada peringkat permulaan, diikuti aliran pendapatan yang stabil dan akhirnya menguntungkan apabila aset matang dan hutang dilangsaikan.
Kementerian Kerja Raya turut menekankan kepentingan anggaran trafik yang realistik dan perancangan kewangan yang rapi sebelum meluluskan pembinaan lebuh raya baharu.
Langkah ini penting bagi mengelakkan projek yang berisiko menjadi beban kepada kerajaan dan pembayar cukai.
Kesimpulannya ialah kerugian awal dalam operasi lebuh raya bertol adalah sesuatu yang lazim dan tidak menggambarkan kegagalan projek.
Dengan pertumbuhan trafik dari semasa ke semasa, pengurangan beban pinjaman, dan tamatnya tempoh pelunasan aset, banyak lebuh raya akhirnya berkembang menjadi aset yang bernilai, mampan, dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi serta peningkatan keterhubungan negara.
* Syed Mohammed Idid merupakan Pengurus Besar Komunikasi Strategik dan Libaturus West Coast Expressway, bekas Ketua Komunikasi Korporat PLUS Malaysia Bhd dan Penerima Anugerah Komunikator IABC APAC 2025.