IPOH – Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menganggarkan kos sebanyak RM1 juta diperlukan bagi melaksanakan kerja-kerja penambakan pasir di Pantai Teluk Batik untuk memulihkan kawasan yang mengalami hakisan teruk susulan ribut dan gelora laut pada 23 hingga 25 November lalu.
Exco Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, kerja penambakan pasir itu perlu dilaksanakan segera bagi mengembalikan struktur asal pantai.
Menurutnya, tindakan itu juga penting untuk memastikan keselamatan pengunjung serta mengekalkan daya tarikan pelancongan di kawasan peranginan popular tersebut.
“Pantai Teluk Batik antara destinasi utama di daerah Manjung rosak teruk selepas ombak besar menghentam kawasan pantai sehingga menyebabkan kira-kira 200 meter garis pantai mengundur, selain menjejaskan pokok-pokok serta kemudahan berhampiran.
“Kejadian hakisan berpunca daripada gabungan perubahan pasang surut luar biasa dan fenomena pusaran angin tekanan rendah atau voltex yang berlaku ketika Monsun Timur Laut sedang aktif,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Mohammad Nizar berkata, selain penambakan pasir, pembinaan pemecah ombak juga boleh dipertimbangkan, namun memerlukan kajian lebih mendalam termasuk dari segi kos dan kesesuaian jarak pemasangan.
Menurutnya, pemuliharaan pantai itu perlu dilaksanakan segera agar Teluk Batik kembali berfungsi sebagai destinasi riadah utama rakyat negeri dan pelancong.
“Pantai Teluk Batik adalah aset pelancongan penting negeri dan perlu dipulihkan segera.
“Kerja-kerja kawalan hakisan ini adalah keutamaan bagi memastikan kawasan pantai kembali stabil dan selamat,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, data Kajian Pelan Pengurusan Pesisiran Pantai Bersepadu (ISMP) 2023 sebelum ini mengelaskan kebanyakan pantai di Manjung sebagai berada dalam Kategori 3, iaitu hakisan minimum.
Namun katanya, kejadian terbaharu itu menyebabkan Teluk Batik dan Teluk Senangin mengalami peningkatan kepada Kategori 2, iaitu pengunduran pantai melebihi satu meter setahun.
Sebelum ini, Majlis Perbandaran Manjung (MPM) telah menutup kawasan itu kepada orang awam sebagai langkah keselamatan selepas video dan gambar kerosakan pantai tular di media sosial.