PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengulangi pendiriannya tidak akan melindungi mana-mana pihak termasuk bekas Setiausaha Politik Kanannya, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin sekiranya terpalit dengan salah laku dan rasuah.
Jurucakap Kerajaan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, jaminan itu disuarakan Anwar menerusi mesyuarat Jemaah Menteri pada Jumaat.
"Tiada sesiapa pun yang terkecuali daripada undang-undang dalam negara kita," katanya menerusi sidang akhbar mingguan pasca mesyuarat Kabinet di sini pada Jumaat.
Dalam mesyuarat sama, Fahmi berkata Anwar memberi peringatan kepada Jemaah Menteri untuk sentiasa memantau pegawai serta tidak melindungi sekiranya berlaku sebarang salah laku.
Shamsul Iskandar menghantar surat peletakan jawatannya pada Selasa lalu dipercayai berkaitan dengan pendedahan ahli perniagaan Albert Tei yang didakwa memberi lebih RM600,000 kepada bekas Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya itu atas alasan diyakinkan boleh mendapat kembali wang yang disalurkan kepada ahli-ahli politik di Sabah. Selain itu, tular di media sosial mengenai sepucuk surat yang didakwa ditandatangani salah seorang setiausaha politik Perdana Menteri.
Surat bertarikh 6 Mei 2024 itu ditujukan buat pembantu kepada Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad yang memintanya untuk mempertimbangkan enam kontraktor dalam sebuah projek hospital di Muar.
Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli pada Khamis lalu menamakan Shamsul Iskandar sebagai individu yang menulis surat sokongan itu.
Pada 18 November lepas, Anwar mendedahkan di Dewan Rakyat bahawa beliau telah menegur setiausaha politiknya itu.
Ahli Parlimen Tambun itu menjelaskan, peraturan dan prinsip kerajaan sememangnya tidak membolehkan tindakan sedemikian dibuat.
Sehubungan itu beberapa pihak termasuk pembangkang menggesa SPRM menjalankan siasatan segera dan telus berhubung dengan tuduhan berkaitan.
Ditanya mengenai kedudukan Shamsul Iskandar dalam politik, Fahmi yang juga Ketua Penerangan PKR menjelaskan tiada sebarang perbincangan di peringkat parti.
"Belum ada lagi perbincangan di pihak parti mengenai apa-apa jawatan politik. Jadi, mungkin kita perlu tunggu sehingga mesyuarat majlis pimpinan pusat akan datang," ujarnya.