Video tular: Pembangkang persoal ‘double standard’ isu ahli politik masuk sekolah

Iklan
Razman (kiri) dan Mohd Akmal mewakili pimpinan Pembangkang DUN Perak menuntut penjelasan kerajaan negeri berhubung kehadiran pemimpin parti kerajaan sepertimana video tular, bulan lalu.

IPOH - Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak menuntut penjelasan rasmi kerajaan negeri susulan penularan sebuah video memaparkan kehadiran pemimpin parti kerajaan ke sebuah sekolah di Ayer Tawar, Beruas, bulan lalu.

Ketua pembangkang, Razman Zakaria berkata, video berdurasi satu minit 24 saat itu mengundang perhatian warganet kerana bercanggah dengan pematuhan Surat Pekeliling Ikhtisas Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang jelas tidak membenarkan kehadiran ahli politik ke institusi pendidikan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pembangkang sentiasa mematuhi pekeliling berkenaan termasuk tidak memasuki sekolah walaupun untuk program rutin seperti penyerahan sumbangan, mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), bacaan Yasin atau sambutan Hari Guru.

“Ada pekeliling KPM yang menghalang ahli politik masuk ke kawasan sekolah. Kami pembangkang patuh, sampai ada yang jadi Pengerusi PIBG pun hanya bantu dari luar pagar. Hantar kek untuk Hari Guru pun setakat pintu pagar sahaja.

Iklan

“Tapi di pihak kerajaan, ada pula yang boleh masuk sampai berkempen politik. Di mana pemantauan pekeliling ini? Atau hanya terpakai kepada pembangkang sahaja?,” katanya dalam sidang akhbar sempena Sidang DUN Perak di sini pada Khamis.

Razman berkata, jika benar hanya wakil rakyat kerajaan dibenarkan berada di sekolah, kerajaan perlu menyatakan perkara itu secara jelas dan terbuka.

Iklan

Katanya, dalam sesi perbahasan pada Rabu, pihaknya sudah menimbulkan perkara itu dalam dewan dan meminta penjelasan daripada Menteri Besar serta wakil KPM.

“Kita tunggu jawapan. Jika tiada, kita akan buat laporan polis untuk memastikan tindakan diambil,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selama yang juga Timbalan Pesuruhjaya Pas negeri, Mohd Akmal Kamarudin menyifatkan isu berkenaan bukan soal larangan tetapi ketidakadilan dalam pelaksanaannya.

“Kalau benarkan masuk, buat pekeliling baharu dan kami pun boleh masuk. Kami pun wakil rakyat, ada nilai baik yang boleh dikongsi dengan murid, tetapi kalau tak boleh, jangan pilih kasih. Pelaksanaan mesti adil,” katanya.