Kelantan negeri pertama kuat kuasa anak wajib beri nafkah ibu bapa

Iklan
Kelantan menjadi negeri perintis di Malaysia yang menggubal undang-undang mewajibkan anak menanggung nafkah ibu bapa. - Foto hiasan

KOTA BHARU - Kelantan menjadi negeri perintis di Malaysia yang menggubal undang-undang mewajibkan anak menanggung nafkah ibu bapa, sebagaimana cadangan kerajaan Persekutuan.

Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta negeri, Mohd Asri Mat Daud berkata, ia selari dengan kelulusan Rang Undang-Undang (RUU) Keluarga Islam 2025 pada Persidangan Dewan Negeri Kelantan (DUN) penggal ketiga, 12 November lalu.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, Kelantan mengambil pendirian proaktif dalam menangani isu pengabaian warga emas dan memperkukuh tanggungjawab anak serta waris terhadap ibu bapa.

“Melalui peruntukan ini, mahkamah boleh memerintahkan anak atau cucu membayar nafkah kepada ibu, bapa, datuk, nenek, moyang dan seterusnya.

Iklan

"Waris pusaka turut dipertanggungjawabkan menjaga warga emas yang tidak mempunyai anak,” katanya.

Ujar beliau, RUU Keluarga Islam 2025 mengandungi 11 bahagian, 178 seksyen dan enam jadual, merangkumi pelbagai aspek hukum kekeluargaan Islam termasuk perlindungan golongan rentan serta struktur tanggungjawab keluarga.

Iklan

Mohd Asri

Mengulas lanjut, Mohd Asri menyifatkan tindakan Kelantan itu sebagai usaha awal dan menyeluruh bagi memperkukuh institusi keluarga.

“Rang undang-undang ini digubal untuk menjaga institusi kekeluargaan, melindungi hak dan tanggungjawab ahli keluarga, menyelesaikan konflik secara adil, melindungi warga emas, wanita serta kanak-kanak, menjaga salasilah keturunan selain memelihara maruah. Ia juga membantu pembangunan sosial selari tuntutan Islam,” katanya.

Beliau juga mengucapkan tahniah kepada Menteri Agama atas inisiatif membawa agenda baharu berkaitan kemaslahatan ummah, sebagaimana Kelantan.

Media tempatan sebelum ini melaporkan, kerajaan Persekutuan sedang memperincikan peruntukan berkaitan nafkah kepada ibu bapa yang uzur dan tidak berkemampuan pada tahun 2026.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Mohd Na’im Mokhtar, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) akan menggubal undang-undang baharu dengan memasukkan peruntukan punca kuasa yang lebih jelas dan khusus pada Mac tahun depan.

Jelas beliau, semua anak dipertanggungjawabkan untuk membantu memenuhi nafkah dan keperluan asas ibu bapa yang dalam keadaan tidak berupaya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Aminolhuda Hassan (PH-Seri Gading) ketika sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat.