Autopsi pertama Palapes UTM dipertimbang selepas laporan kedua diperoleh

Iklan
Ummu Haiman Bee (kanan) hadir ke Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Khamis, bagi mendapatkan perintah laporan bedah siasat pertama, berhubung kematian anaknya, Julai lalu.

SHAH ALAM – Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis diberitahu bahawa, permohonan keluarga pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Syamsul Haris Shamsudin untuk mendapatkan laporan bedah siasat pertama hanya akan dipertimbangkan selepas dapatan mengenai autopsi kedua diperoleh.

Semasa prosiding di hadapan Hakim, Datuk Bhupindar Singh Gurcharan Singh Preet, Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin yang mewakili enam pihak selaku responden mengesahkan laporan bedah siasatan pertama di Hospital Sultan Ismail Johor telah tersedia.

Iklan
Iklan

“Bagaimanapun saya belum menerima laporan terbabit selain tidak mendapat arahan untuk memberikan laporan itu.

“Ini kerana kes berkenaan masih dalam siasatan dan pihak kami belum mendapat laporan bedah siasat kedua.

Iklan

“Hanya selepas menerima laporan bedah siasat kedua dan meneliti kertas siasatan, barulah kami teruskan dengan keputusan sama ada menyerahkan laporan pertama kepada pemohon atau membuat bantahan,” katanya.

Sementara itu, peguam, Datuk Naran Singh yang mewakili ibu Allahyarham, Ummu Haiman Bee Daulatgun, 45, selaku pemohon mempertikaikan keengganan Peguam Negara untuk menyerahkan laporan bedah siasat pertama sehingga memaksa perkara ini dibawa ke muka pengadilan.

Iklan

“Sedangkan Seksyen 74 dan 76 Akta Keterangan 1950 menyatakan, laporan itu merupakan dokumen awam dan perlu diserahkan sebagai keterangan serta boleh digunakan sebagai bukti di mahkamah.

“Menyentuh laporan bedah siasat kedua, saya telah menghubungi pegawai penyiasat dan beliau memaklumkan dokumen berkenaan dijangka siap esok,” katanya.

Justeru itu, beliau berkata, pemohon akan mengambil laporan terbabit di Jabatan Forensik Hospital Kuala Lumpur pada jam 3 petang, Jumaat.

Selepas mendengar perkara itu, Bhupindar Singh menetapkan 5 Disember depan untuk sebutan permohanan bagi perkembangan laporan bedah siasat terbabit.

Pada 30 Oktober lalu, pemohon yang juga guru Geografi memfailkan notis usul menerusi Tetuan Naran Singh & Co terhadap enam pihak selaku responden pertama hingga keenam.

Mereka ialah Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad; Pengarah Hospital Sultan Ismail, Johor, Dr Zuraini Zainal; Pengarah Hospital Kota Tinggi, Johor, Dr Azri Ariff Abdul Zawawi; Pegawai Perubatan (yang menjalankan bedah siasat pertama), Dr George Sixtus Fernandez Jr; Pegawai Perubatan (yang menjalankan bedah siasat pertama) Dr Nurfarrah Balqies Abdul Lateef dan Pakar Forensik Hospital Sultan Ismail, Dr Rohayu Shahar Adnan.

Pemohon mahu mendapatkan perintah supaya mahkamah mengarahkan responden kedua atau ketiga membekalkan salinan laporan bedah siasat pertama Syamsul Haris dan salinan nota keterangan dari bahagian Kecemasan Dan Kemalangan Hospital Kota Tinggi kepada pemohon.

Sebelum ini, media melaporkan hasil siasatan jawatankuasa kematian pegawai kadet Palapes UTM mendapati tiada sebarang unsur penderaan dalam insiden berkenaan.

Mangsa meninggal dunia ketika menjalani latihan di Pusat Latihan Darat (Pulada), Ulu Tiram, pada 28 Julai lalu.