HONG KONG – Sebuah kebakaran besar yang memusnahkan sebuah kompleks pangsapuri tinggi di Hong Kong telah meragut puluhan nyawa, manakala ratusan lagi masih dilaporkan hilang, dalam insiden yang disifatkan sebagai tragedi paling buruk di bandar itu sejak beberapa dekad lalu.
Insiden mengejutkan itu berlaku di Wang Fuk Court, sebuah kompleks kediaman yang sedang menjalani kerja-kerja penyelenggaraan di daerah Tai Po, utara Hong Kong. Kebakaran berlaku pada Rabu dan pantas merebak ke beberapa blok kediaman.
Kebakaran besar
Api marak di bahagian perancah buluh pada beberapa bangunan kediaman di Wang Fuk Court, yang terdiri daripada lapan menara setinggi 31 tingkat dengan keseluruhan 1,984 unit.
Pasukan bomba termasuk seorang anggotanya yang terkorban bertungkus-lumus memadamkan api sepanjang malam.
Jabatan Bomba Hong Kong mengesahkan sekurang-kurangnya 44 mangsa terkorban, manakala ratusan penduduk masih belum dapat dikesan.
Seramai 900 penduduk telah dipindahkan ke pusat perlindungan sementara, manakala puluhan mangsa dirawat di hospital, termasuk beberapa dalam keadaan kritikal.
Bandar paling padat
Hong Kong merupakan antara kawasan paling padat di dunia, menjadikan sebarang bencana bandar berisiko tinggi.
Dengan populasi seramai 7.5 juta orang, ramai penduduk tinggal di kawasan berbukit yang terhad dari segi keluasan.
Kepadatan penduduknya melebihi 7,100 orang bagi setiap kilometer persegi — setanding dengan metropolis padat seperti Tokyo.
Kehidupan menegak
Hong Kong terkenal dengan rangkaian bangunan pencakar langit yang mendominasi latar langitnya. Sebahagian besarnya merupakan blok kediaman yang dibina bagi menampung keperluan perumahan populasi yang semakin meningkat.
Pembangunan kediaman baharu terutama tertumpu di kawasan New Territories, termasuk daerah Tai Po.
Menurut data Council on Tall Buildings and Urban Habitat, Hong Kong memiliki 569 bangunan melebihi 150 meter jumlah tertinggi di dunia.
Peranan perancah, angin dan bahan mudah terbakar
Punca sebenar kebakaran masih dalam siasatan, namun penyiasat memberi tumpuan kepada kemungkinan penggunaan bahan binaan mudah terbakar yang dikatakan mempercepatkan penyebaran api.
Polis telah menahan tiga lelaki daripada syarikat pembinaan yang terlibat, atas dakwaan kecuaian melampau sehingga menyebabkan kebakaran itu"merebak pantas dan di luar kawalan".
Bahagian luar bangunan kediaman berkenaan dipenuhi perancah buluh, selain dilitupi jaring dan kepingan plastik, yang menurut siasatan awal tidak memenuhi piawaian keselamatan kebakaran. Pegawai turut menemui buih pembungkusan yang sangat mudah terbakar dan dipercayai mempercepatkan penyebaran api.
Pada waktu kejadian, kelajuan angin sekitar 14 kilometer sejam direkodkan di kawasan berkenaan, sekali gus menyumbang kepada penyebaran api yang lebih pantas. – AFP