Pintu Rafah penentu nasib rakyat Palestin cedera di Gaza

Iklan
Rimas mengalami kecederaan serius pada lutut kiri selepas ditembak lima bulan lalu dan kini terpaksa bergantung kepada kerusi roda - Foto: AP

GAZA - Seorang remaja Palestin berusia 15 tahun, Rimas Abu Lehia yang cedera akibat tembakan tentera Israel ketika orang ramai berebut bantuan makanan di Gaza, kini menaruh sepenuh harapan terhadap pembukaan semula pintu sempadan Rafah bagi mendapatkan rawatan di luar negara.

Menurut laporan Associated Press (AP), Rimas mengalami kecederaan serius pada lutut kiri selepas ditembak lima bulan lalu dan kini terpaksa bergantung kepada kerusi roda.

Iklan
Iklan

Bapa Rimas, Sarhan Abu Lehia berkata, keluarganya dimaklumkan bahawa anaknya akan dipindahkan pada Januari, namun sehingga kini masih tiada sebarang perkembangan.

“Keadaannya semakin teruk setiap hari. Dia hanya duduk bersendirian dan menangis,” ujarnya.

Iklan

Doktor memaklumkan Rimas memerlukan pembedahan penggantian lutut yang tidak dapat dilakukan di Gaza.

Sementara itu, menurut Kementerian Kesihatan Gaza, lebih 20,000 rakyat Palestin termasuk 4,500 kanak-kanak sedang menunggu pemindahan keluar bagi rawatan perubatan, dengan sebahagiannya menunggu melebihi setahun.

Iklan

Harapan mereka kini terarah kepada pembukaan semula pintu sempadan Rafah antara Gaza dan Mesir, yang dijangka dibuka dua hala pada Ahad susulan gencatan senjata hampir empat bulan antara Israel dan Hamas.

Tentera Israel memaklumkan hanya pergerakan terhad orang awam akan dibenarkan, dengan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berkata sekitar 50 pesakit sehari boleh keluar, manakala ada pihak menyebut sehingga 150 pesakit sehari.

Bagaimanapun, pada kadar tersebut, proses pemindahan penuh dijangka mengambil masa antara 130 hingga 400 hari.

Sistem kesihatan Gaza pula dilaporkan lumpuh akibat kempen ketenteraan Israel, dengan hospital berdepan kekurangan bekalan dan tidak mampu melaksanakan pembedahan kompleks.

Lebih 10,000 pesakit telah dipindahkan keluar sejak perang bermula, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Kementerian Kesihatan Gaza turut melaporkan lebih 1,200 pesakit meninggal dunia ketika menunggu pemindahan bagi mendapatkan rawatan.

Gaza kini mempunyai lebih 11,000 pesakit kanser, dengan 75 peratus ubat kemoterapi tidak tersedia. Sekurang-kurangnya 4,000 pesakit memerlukan rawatan segera di luar negara.