MUMBAI – Satu kes penderaan haiwan yang mengejutkan berlaku di Kampung Kurar, Malad Timur, Mumbai, India, apabila seorang lelaki berusia 20 tahun didakwa menyerang secara seksual dan memukul anak anjing berusia dua setengah bulan.
Insiden itu tular baru-baru ini, selepas video operasi penyelamatan yang dikongsi oleh PAL (Pure Animal Lovers) Foundation menjadi tular di media sosial, serta menimbulkan kemarahan orang ramai.
Menurut pihak polis dan sukarelawan kebajikan haiwan, operasi menyelamat dijalankan di sebuah tandas awam selepas menerima maklumat mengenai penderaan tersebut.
Operasi itu melibatkan anggota Polis Mumbai bersama aktivis haiwan tempatan.
Awalnya, suspek enggan membuka pintu tandas yang berkunci. Polis terpaksa memasuki premis secara paksa sebelum menahannya, ketika lelaki itu dilaporkan hanya berpakaian separuh.
Anak anjing tersebut diselamatkan serta-merta dan dibawa untuk rawatan perubatan kecemasan.
PAL Foundation memaklumkan haiwan itu masih dalam keadaan kritikal dan berada di bawah penjagaan perubatan berterusan.
Polis mengesahkan suspek telah ditahan dan siasatan lanjut sedang dijalankan.
Kes akan didaftarkan di bawah Akta Pencegahan Kekejaman Terhadap Haiwan, selain seksyen berkaitan Bharatiya Nyaya Sanhita.
Namun, pihak berkuasa menegaskan bahawa undang-undang semasa di Bharatiya Nyaya Sanhita tidak menjadikan serangan seksual terhadap haiwan sebagai jenayah khusus dan tindakan undang-undang biasanya dilakukan di bawah undang-undang penderaan haiwan.
Kes ini sekali lagi menimbulkan gesaan daripada kumpulan kebajikan haiwan agar peruntukan undang-undang yang lebih jelas dan tegas diwujudkan untuk menangani penderaan seksual terhadap haiwan. -Agensi