SEREMBAN - Kementerian Kerja Raya (KKR) akan memperhalusi isu kerugian membabitkan 12 syarikat pemegang konsesi lebuh raya, berdasarkan Laporan Kewangan Berakhir Tahun 2024 bagi syarikat terbabit.
Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, beliau tidak mahu mengeluarkan sebarang kenyataan tergesa-gesa berhubung perkara itu kerana mahu mendapatkan maklumat lanjut terlebih dahulu.
"Ini perlu diperhalusi, kita tak boleh nak buat kenyataan tergesa-gesa kerana implikasi kewangannya besar kepada negara dan sebagainya.
"Jadi, sabar dululah. Nanti apabila kita memperhalusi kesemuanya barulah kita boleh buat kenyataan secara rasmi," katanya ditemui pemberita selepas Peluncuran Aplikasi Navigasi Lebuh Raya TuJu di Kawasan Rehat dan Rawat(R&R) Seremban arah selatan di sini pada Rabu.
Turut hadir, Timbalan Menteri KKR, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan dan Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia(LLM), Ir Sazali Harun.
Sebelum ini Ahmad dalam Dewan Rakyat memaklumkan, sebanyak 12 syarikat pemegang konsesi lebuh raya mengalami kerugian, berdasarkan Laporan Kewangan Berakhir Tahun 2024 bagi syarikat berkenaan.
Kerugian berkenaan membabit konsesi bagi Lebuhraya Kuala Lumpur-Putrajaya (MEX) iaitu Maju Expressway Sdn Bhd, Lebuhraya KL-Karak dan LPT1 (ANIH Berhad), Lebuhraya Kemuning-Shah Alam (LKSA) (Projek Lintasan Shah Alam Sdn Bhd), Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH) (Projek Lintasan Damansara-Shah Alam Sdn Bhd) dan Lebuhraya Senai-Desaru (SDE) (Senai Desaru Expressway Berhad).
Selain itu, Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE) (SKVE Holdings Sdn Bhd), Lebuhraya Setiawangsa-Pantai (SPE) (Lebuhraya DUKE Fasa 3 Sdn Bhd), Lebuhraya Kajang Seremban (LEKAS) (Lebuhraya kajang Seremban Sdn Bhd), Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Klang (SUKE) (Projek Lintasan Sungai Besi-Ulu Klang Sdn Bhd), Terowong Jalan Dan Pengurusan Air Banjir (SMART) (Syarikat Mengurus Air Banjir & Terowong Sdn Bhd), Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) (West Coast Expressway Sdn Bhd) dan Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (LLB) (Lingkaran Luar Butterworth (Penang Sdn Bhd).
Beliau turut memaklumkan, sebanyak 15 syarikat konsesi mencatatkan keuntungan termasuk PLUS Berhad.
Sementara itu berkenaan aplikasi navigasi lebuh raya beliau berkata, ia dibangunkan hasil kerjasama strategik antara Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan Prosignal Consortium Sdn Bhd (PCSB) sejak tahun 2022.
"Antara kemudahan utamanya ialah navigasi tepat dengan anggaran ketibaan, maklumat tol dan trafik terkini, carian fasiliti R&R yang lengkap, akses kamera litar tertutup(CCTV) lebuh raya secara langsung, serta bantuan kecemasan segera.
"Ia dibangunkan untuk memudahkan perancangan perjalanan, menjadi platform bantuan kecemasan yang pantas, sertameningkatkan kecekapan operasi konsesi lebuh raya,"katanya.
Jelas beliau lagi, aplikasi tersebut kini diintegrasikan dengan MyJalan bagi membolehkan pertukaran maklumat dan aduan secara terus, sekali gusmembentuk rangka kerja lebuh raya pintar yang lebih responsif.
"Integrasi ini turut membolehkan analitik data masa nyata dilaksanakan, membantu pihak pengurusan mengenal pasti corak trafik, lokasi berisiko serta merangka langkah mitigasi dengan lebih tepat dan cepat.
"Dalam jangka panjang, usaha ini menyokong pembangunan Smart Mobility Hub negara selaras dengan ITS Roadmap 2030, sekali gus memperkukuh aspirasi Malaysia ke arah negara berteknologitinggi dan berdaya saing,"katanya.