KUALA LUMPUR - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini memanfaatkan cuti panjang sempena Hari Wilayah dan Thaipusam dengan meninjau operasi Perkhidmatan Tren Elektrik 3 (ETS3) Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dari Kuala Lumpur ke Johor Bahru.
Menerusi hantaran di Facebook, Anwar berkata, kesempatan itu digunakan untuk menyantuni para penumpang serta mendengar secara langsung pandangan dan maklum balas mereka mengenai perkhidmatan yang disediakan.
"Alhamdulillah, respons yang diterima amat memberangsangkan khususnya terkait tahap keselesaan serta pengalaman perjalanan yang lebih lancar dan tersusun,” katanya.
Beliau berkata, Kerajaan Madani akan terus memberikan keutamaan pada usaha memperkukuh perkhidmatan awam yang selamat, cekap dan mesra rakyat. - Bernama