KUALA LUMPUR – Sebanyak 12 syarikat pemegang konsesi lebuh raya mengalami kerugian berdasarkan Laporan Kewangan Tahun Berakhir 2024 bagi syarikat berkenaan.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan berkata, kerugian itu membabitkan konsesi bagi Lebuhraya Kuala Lumpur-Putrajaya (MEX) iaitu Maju Expressway Sdn Bhd, Lebuhraya KL-Karak dan LPT1 (ANIH Berhad), Lebuhraya Kemuning-Shah Alam (LKSA) (Projek Lintasan Shah Alam Sdn Bhd), Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH) (Projek Lintasan Damansara-Shah Alam Sdn Bhd) dan Lebuhraya Senai-Desaru (SDE) (Senai Desaru Expressway Berhad).
Menurutnya, selain itu ialah Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE) (SKVE Holdings Sdn Bhd), Lebuhraya Setiawangsa-Pantai (SPE) (Lebuhraya DUKE Fasa 3 Sdn Bhd), Lebuhraya Kajang Seremban (LEKAS) (Lebuhraya kajang Seremban Sdn Bhd), Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Klang (SUKE) (Projek Lintasan Sungai Besi-Ulu Klang Sdn Bhd), Terowong Jalan Dan Pengurusan Air Banjir (SMART) (Syarikat Mengurus Air Banjir & Terowong Sdn Bhd), Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) (West Coast Expressway Sdn Bhd) dan Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (LLB) (Lingkaran Luar Butterworth (Penang Sdn Bhd).
"Jika mahu mencadangkan pembinaan lebuh raya baharu, perlu dibuat kiraan terperinci. Sekiranya (jumlah) trafik tidak mencukupi, belum tentu konsesi boleh untung.
"Contohnya cadangan pembinaan Lebuhraya Pantai Timur 3 (LPT3) dari Kuala Terengganu ke Kota Bharu. Ada yang mahu dilaksanakan, tetapi adakah ia mendatangkan keuntungan?" katanya menjawab soalan tambahan Zahir Hassan (PH-Wangsa Maju) mengenai prestasi konsesi di Dewan Rakyat, pada Rabu.
Dalam pada itu Ahmad memaklumkan, kos pembinaan LPT3 mencecah RM10 bilion dengan anggaran bayaran tol sekitar RM70.
Justeru katanya, kerajaan perlu berhati-hati agar keputusan membina lebuh raya baharu tidak menimbulkan liabiliti jangka panjang kepada negara.
"Jika tidak menguntungkan, ia akhirnya menjadi beban kepada kerajaan kerana terpaksa menanggung kerugian, mengambil alih dan sebagainya,” jelasnya.
Sementara itu beliau yang juga Ahli Parlimen Pontian memaklumkan, sebanyak 15 syarikat konsesi mencatatkan keuntungan antaranya PLUS Berhad yang mengendalikan Lebuhraya Utara-Selatan (LUS), Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (ELITE), Lebuhraya Butterworth-Kulim (BKE), Lebuhraya Seremban-Port Dickson (SPDH), Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (LINKEDUA) dan Jambatan Pulau Pinang (JPP).
Selain itu, pengendali Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2, iaitu Lebuhraya Pantai Timur 2 Sdn Bhd, Lebuhraya Sungai Besi (BESRAYA) (Besraya (M) Sdn Bhd), Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE) (Prolintas Expressway Sdn Bhd), Lebuhraya Cheras Kajang (GRANDSAGA) (GRANDSAGA Sdn Bhd), Lebuhraya Jalan Pintas Selat Klang Utara Baru (NNIKSB) (GRAND SEPADU (NK) Sdn Bhd) dan Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH) (Projek Lintasan Kota Sdn Bhd).