IPOH - Skim bantuan sewa rumah dan bina rumah disediakan kepada mualaf Orang Asli di Perak yang berdepan kesukaran tinggal bersama keluarga bukan Islam.
Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, langkah digerakkan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) itu antara usaha memastikan kebajikan dan perkembangan akidah mualaf sentiasa terjaga, terutama mereka yang masih tinggal dalam keluarga bercampur agama.
"Bagi mualaf yang tinggal bersama keluarga bukan Islam, pendekatan kaunseling dan sokongan emosi diberikan agar mereka dapat menyesuaikan diri dengan perubahan kekeluargaan.
"MAIPk juga menyediakan skim bantuan sewa dan bima rumah sekiranya perlu atau sesuai dilaksanakan," katanya ketika menjawab soalan lisan Salina Samsudin (BN-Behrang) dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di sini pada Rabu.
Beliau berkata, MAIPk dan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) turut menjalankan pendekatan dakwah secara inklusif dan berhati-hati agar tidak mencetuskan konflik dalam keluarga mualaf yang baru memeluk Islam.
Katanya, pelbagai bentuk kelas bimbingan disediakan seperti Program Pemantapan Ibadah dan Akidah yang merangkumi ceramah agama, tazkirah, latihan dalam kumpulan, praktikal solat serta amali ibadah harian.
“Pejabat agama daerah turut mengadakan kelas berkala melibatkan pengajian asas fardu ain, bacaan al-Quran, pengukuhan akidah melalui kisah para nabi, serta perbincangan isu semasa berkaitan cabaran hidup sebagai mualaf,” katanya.
Saarani berkata, pegawai mubaligh dan Penggerak Masyarakat Orang Asli juga melakukan lawatan berkala ke rumah-rumah mualaf bagi memantau perkembangan akidah serta memberi bimbingan secara lebih dekat.
Tambahnya lagi, usaha itu diperkukuhkan melalui kerjasama MAIPk, JAIPk dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan melantik 58 Penggerak Masyarakat Orang Asli (PMOA), 56 mubaligh, 75 Guru Asas Pengajian Islam Mualaf (APIM) dan 22 Guru Takmir Orang Asli.
"Inisiatif berterusan ini bagi memastikan pemahaman Islam dapat dihayati dan akidah masyarakat Orang Asli yang telah menganut Islam dapat dijaga," katanya.