KUALA LUMPUR – Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) mencatat pencapaian penting dalam agenda transformasi digital sepanjang tahun 2025 dengan pembangunan Pusat Pembelajaran Imersif dan Metaverse PNM yang menjadi simbol peralihan institusi ini ke era baharu pembelajaran digital dan interaktif.
Ketua Pengarah PNM, Edy Irwan Zulkafli berkata, inisiatif itu merupakan antara langkah paling signifikan dalam memperkukuh ekosistem perpustakaan digital negara.
“Projek ini membuktikan komitmen PNM untuk menyesuaikan diri dengan perkembangan teknologi serta memenuhi keperluan masyarakat moden.
"Pusat Pembelajaran Imersif dan Metaverse menampilkan gabungan teknologi realiti maya (VR), realiti terimbuh (AR), hologram, automasi dan interaktiviti digital bagi memperkayakan pengalaman pembelajaran masyarakat," katanya kepada Sinar Harian.
Ujarnya, ruang yang dibangunkan termasuk Panel Maklumat Interaktif, Skrin LED Melengkung, VR Space, eSports Zone, Robozone dan Metaverse Room dengan penyediaan kandungan digital baharu.
"Pengunjung bukan sahaja dapat mengakses ilmu dengan lebih mendalam malah didedahkan kepada bentuk pembelajaran baharu yang menggabungkan teknologi, kreativiti dan interaksi sosial.
"Pelaksanaan projek ini adalah sebahagian daripada inisiatif Digital Library Transformation PNM, selaras dengan aspirasi Kerajaan Digital dan menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG 4) – Pendidikan Berkualiti.
"Ia juga berteraskan nilai Malaysia MADANI, khususnya dalam aspek pembangunan sosial dan reformasi institusi awam, yang menekankan keterangkuman pendidikan serta pemantapan perkhidmatan awam melalui teknologi," katanya.
Ujarnya, sepanjang 2025, PNM berjaya memperkukuh imejnya sebagai institusi ilmu progresif dan relevan dengan kehendak semasa, menjadikan perpustakaan bukan lagi sekadar ruang simpanan bahan bacaan tetapi sebagai pusat penerokaan, penciptaan dan inovasi ilmu digital.
"Peningkatan jumlah pengunjung, sambutan positif daripada pelajar dan penyelidik, serta pengiktirafan terhadap inisiatif baharu ini menjadi petunjuk jelas terhadap kejayaan fasa pertama transformasi digital PNM.
"Menjelang 2026, PNM menumpukan usaha untuk memperluas dan memperkukuh ekosistem perpustakaan digital negara.
"Tumpuan utama termasuk memperkaya kandungan digital tempatan, mengintegrasikan teknologi pintar seperti kecerdasan buatan (AI) dan analitik data, serta memperluas capaian Pusat Pembelajaran Imersif ke komuniti melalui rangkaian perpustakaan negeri dan perpustakaan desa," katanya.
Dalam pada itu beliau menekankan bahawa pembangunan literasi digital dan kecekapan teknologi dalam kalangan pustakawan dan pengguna menjadi keutamaan bagi memastikan manfaat transformasi digital ini dinikmati secara menyeluruh.
"Langkah-langkah strategik ini diharap menjadikan PNM sebagai hab pembelajaran pintar nasional yang bukan sahaja mendekatkan masyarakat kepada ilmu, tetapi turut melahirkan generasi celik digital yang kreatif, kritikal dan berdaya saing di peringkat global.
"Dengan pencapaian ini, PNM membuktikan bahawa perpustakaan moden mampu berfungsi sebagai pusat inovasi digital, selari dengan aspirasi kerajaan untuk memperkukuh pendidikan, literasi dan pemupukan bakat generasi baharu," katanya.
Komitmen berterusan capai Negara Membaca 2030
Dalam pada itu beliau berkata, PNM memberikan komitmen berterusan dalam pembudayaan ilmu dan pembentukan masyarakat berpengetahuan serta bersatu padu, selaras aspirasi Negara Membaca 2030.
"PNM merekodkan 8.28 juta pengguna untuk perkhidmatan fizikal dan digital sehingga suku ketiga 2025. Tahun ini juga menyaksikan 43,413 program berimpak besar dilaksanakan bagi pelbagai lapisan masyarakat.
"Antara program utama ialah Kempen Jom Baca Bersama 10 Minit 2025 yang menarik lebih 13 juta peserta dari pelbagai latar pendidikan, umur dan kaum.
"Perpustakaan Desa (PD) kekal penting dengan 506 buah perpustakaan di seluruh negara. Dari 2021–2025, PNM menghantar 361,123 naskhah buku bernilai RM7.93 juta, termasuk program literasi digital dan budaya," katanya.
Tambahnya, menerusi pendigitalan, MyRepositori dan u-Pustaka membolehkan rakyat mengakses 59,066 judul digital setakat September 2025, malah pada tahun ini 497 judul dan 73,256 muka surat diperdigitalkan.
"Melalui Pusat Kebangsaan Manuskrip Melayu (PKMM), manuskrip Melayu seperti Asrar al-‘Arifin diiktiraf UNESCO, menjadikan 10 manuskrip PNM mendapat pengiktirafan antarabangsa.
"PNM juga menyokong industri penerbitan negara sebagai Pusat Kebangsaan ISBN, ISSN dan Pengkatalogan dalam penerbitan (PdP) dengan 139,736 permohonan diproses antara 2020–2024, menunjukkan pertumbuhan sektor penerbitan tempatan.
"Secara keseluruhan, PNM berjaya menggabungkan galakan membaca, pembangunan komuniti, pendigitalan warisan dan penerbitan. Dengan kerjasama Kementerian, agensi kerajaan dan komuniti, PNM terus menjadi nadi masyarakat berilmu, selaras semangat Malaysia Madani," katanya.
Perpustakaan Desa kekal sebagai inisiatif teras PNM
Edy Irwan berkata, Perpustakaan Desa kekal sebagai inisiatif teras PNM dalam membudayakan ilmu dan memperkukuh perpaduan komuniti luar bandar.
"Sehingga 2025 sebanyak 506 Perpustakaan Desa berfungsi sebagai pusat komuniti setempat dengan menawarkan bahan bacaan, akses digital, program literasi, keusahawanan, kebudayaan dan warisan.
"Setakat Oktober 2025, Perpustakaan Desa melaksanakan 48,236 program berimpak tinggi dengan penyertaan 1.34 juta orang, termasuk program utama seperti Jom Baca 10 Minit pada 23 April lalu yang mendapat sambutan besar daripada sekolah dan masyarakat.
"Peranan Perpustakaan Desa turut mendapat perhatian antarabangsa apabila menjadi lokasi lawatan delegasi CONSAL ke-19 di Kampung Kuala Serdang, Negeri Sembilan pada 19 Jun 2025, menunjukkan pengiktirafan serantau terhadap kejayaan Malaysia mengangkat perpustakaan komuniti," katanya.
Sementara itu katanya, PNM turut memperkukuh agenda digital melalui bimbingan literasi digital, promosi u-Pustaka serta program seperti Pameran u-Pustaka Sempena Cashless Society di Sabah bagi meningkatkan pendedahan teknologi dalam kalangan masyarakat luar bandar.
"Secara keseluruhan, Perpustakaan Desa kini berkembang sebagai pusat komuniti bersepadu yang menggabungkan ilmu, teknologi, warisan dan perpaduan. Dengan pelbagai program sepanjang 2025, ia terus menjadi nadi pembangunan luar bandar serta pemupuk masyarakat berilmu dan bersatu padu selaras semangat Malaysia Madani," katanya.