Delegasi Malaysia teroka peluang koperasi serantau di ICA-AP 2025

Iklan
Abdul Fattah turut dijadual menghadiri beberapa pertemuan dua hala dengan pemimpin koperasi dari negara Asia Pasifik bagi meneroka ruang kerjasama dalam sektor berimpak tinggi.

DELEGASI Malaysia menyertai Perhimpunan Serantau Ikatan Koperasi Antarabangsa Asia dan Pasifik (ICA-AP) ke-17 bagi memperkukuh kerjasama teknikal, pembangunan dasar dan jaringan perdagangan antara negara anggota Asia Pasifik.

Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA), Datuk Seri Abdul Fattah Abdullah berkata, perhimpunan dwitahunan yang berlangsung dari 24 hingga 28 November di Cinnamon Lakeside Hotel, Colombo itu menghimpunkan wakil kerajaan, pemimpin koperasi, pembuat dasar dan tokoh akademik dari lebih 30 negara.

Iklan
Iklan

“Delegasi Malaysia merangkumi dua agensi kerajaan iaitu Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dan Institut Koperasi Malaysia (IKM) serta 13 koperasi daripada pelbagai sektor strategik untuk memperluas kerjasama teknikal, pembentukan dasar dan jaringan perdagangan serantau.

“Perhimpunan dwitahunan ICA-AP ini dianjurkan bersama National Co-operative Council of Sri Lanka (NCCSL) sebagai tuan rumah. Delegasi Malaysia dijadual mengambil bahagian dalam sesi pleno, dialog dasar dan seminar yang membincangkan pelbagai aspek pembangunan koperasi,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Iklan

Kehadiran Presiden ANGKASA kali ini turut membawa misi penting kerana selain mengetuai delegasi, beliau dijadual terlibat dalam sesi pemilihan Ahli Lembaga ICA-AP pada 27 November 2025 untuk mengekalkan jawatan sebagai Naib Presiden ICA-AP.

Sejak dipilih sebagai Naib Presiden ICA-AP pada pemilihan yang lepas, Abdul Fattah membawa suara gerakan koperasi Malaysia ke peringkat yang lebih tinggi melalui penyertaan aktif dalam mesyuarat serantau serta sesi libat urus bersama negara anggota.

Iklan

Abdul Fattah turut dijadual menghadiri beberapa pertemuan dua hala dengan pemimpin koperasi dari negara Asia Pasifik bagi meneroka ruang kerjasama dalam sektor berimpak tinggi seperti pertanian moden, pembangunan produk halal, ekonomi komuniti dan kewangan koperasi.

Perbincangan ini akan membantu Malaysia memperluas akses pasaran serta membina rangkaian dagang untuk koperasi yang ingin berkembang ke peringkat antarabangsa.

Abdul Fattah berkata, antara acara penting yang akan disertai termasuk Persidangan Penyelidikan ICA-AP ke-19, Bengkel Penyelidik Muda dan Penyelidik Baharu serta Perbincangan Meja Bulat anjuran Platform Pembangunan Koperasi Asia Pasifik (APCDP).

“Delegasi juga akan menghadiri Mesyuarat Lembaga Serantau ICA-AP dan Mesyuarat Majlis Malaysian Business Office (MBO) yang menyelaras isu keahlian, yuran, hubungan antarabangsa dan penyertaan negara anggota.

“Delegasi Malaysia juga akan terlibat aktif dalam mesyuarat sektoral ICA-AP yang merangkumi Mesyuarat Jawatankuasa Pertanian dan Alam Sekitar (ICAE), Mesyuarat Jawatankuasa Kredit dan Perbankan, Mesyuarat Jawatankuasa Kerjasama Pengguna serta Mesyuarat Jawatankuasa Koperasi Belia (ICYC),” jelasnya.

Tambah beliau, keempat-empat sesi ini turut merangkumi proses pemilihan jawatankuasa baharu bagi penggal seterusnya.

“Selain itu Mesyuarat Jawatankuasa Wanita, Mesyuarat Jawatankuasa Koperasi Institusi Pendidikan (ICEI), Mesyuarat Jawatankuasa Perdagangan dan Perniagaan serta beberapa seminar tematik turut diadakan untuk mengukuhkan perkongsian dasar dan kerjasama teknikal antara negara anggota,” katanya.

Selain penyertaan dalam mesyuarat sektoral, Abdul Fattah berkata, delegasi Malaysia turut menghadiri beberapa sesi utama perhimpunan termasuk Majlis Pembukaan Bersama Perhimpunan Serantau ICA-AP Ke-17 dan Forum Koperasi Ke-12.

“Pada sesi pleno pembukaan, tema yang diketengahkan ialah ‘Cooperatives as Catalysts for Better Future’. Delegasi turut dijadual menghadiri Majlis Anugerah Asia Pacific Cooperative Excellence Awards 2025 yang meraikan pencapaian koperasi cemerlang rantau ini.

“Penglibatan tersebut menggambarkan komitmen Malaysia untuk terus berada di barisan hadapan dalam perbincangan strategi pembangunan koperasi Asia Pasifik,” ujarnya.

Tambahnya, penyertaan Malaysia dalam persidangan ini amat penting bagi memastikan suara gerakan koperasi Malaysia terus didengari dalam pembentukan dasar serantau.

“Malaysia perlu memainkan peranan aktif kerana rantau Asia Pasifik sedang berdepan perubahan ekonomi yang memerlukan model pembangunan lebih inklusif. Dalam konteks ini, koperasi dilihat sebagai mekanisme menstabilkan ekonomi dan menyokong kesejahteraan rakyat.

“ANGKASA yakin dengan kehadiran delegasi Malaysia di Colombo, Sri Lanka akan membuka lebih banyak peluang kerjasama baharu serta memperkukuh kedudukan negara sebagai rakan utama dalam rangkaian koperasi Asia Pasifik,” kata beliau.