AGROBANK melancarkan dua kempen deposit peringkat kebangsaan bersempena sambutan Tahun Baharu Cina di Sabah yang menyasarkan penyertaan masyarakat umum serta golongan kanak-kanak dan remaja.
Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, kempen tersebut mencerminkan komitmen Agrobank dalam menyokong agenda literasi kewangan negara.
“Kempen Generasi Muda menyokong objektif Strategi Kebangsaan Literasi Kewangan 2026–2030 (NS2.0) dengan menggalakkan amalan menabung secara berstruktur dan konsisten sejak usia muda.
“Kempen Heng Heng Lai pula memupuk disiplin simpanan dalam kalangan pelanggan dewasa. Usaha ini secara tidak langsung menyumbang kepada pembinaan isi rumah yang lebih berdaya tahan selaras dengan aspirasi Ekonomi Madani,” katanya.
Majlis pelancaran disempurnakan oleh Tengku Ahmad Badli Shah bersama Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Chan Foong Hin.
Kedua-dua kempen itu bertujuan menggalakkan amalan menabung secara berdisiplin dalam kalangan pelanggan sedia ada dan baharu, di samping memupuk tabiat simpanan yang konsisten sejak usia muda.
Sementara itu, Foong Hin berkata, inisiatif seperti ini mampu memberi impak positif khususnya kepada masyarakat di Sabah dalam memperkukuh kestabilan kewangan keluarga.
“Galakan untuk menabung secara konsisten, terutamanya dalam kalangan generasi muda di Sabah merupakan langkah penting ke arah memperkukuh daya tahan kewangan komuniti.
“Inisiatif sebegini memberi ruang kepada keluarga di Sabah untuk lebih aktif menyertai sistem kewangan formal dan merancang masa depan dengan lebih yakin,” ujarnya.
Kempen Mega Million 3.0: “Heng Heng Lai” berlangsung dari 15 Februari hingga 15 Mac 2026 melibatkan produk AgroPrimaS dengan kelayakan peletakan minimum RM50,000 dalam satu sijil.
Peserta layak menyertai cabutan bagi setiap sijil yang memenuhi syarat dengan ganjaran kepada lapan pemenang berupa kepingan emas Agrobank seberat 10 gram.
Kempen Generasi Muda berlangsung dari 15 Februari 2026 hingga 15 Februari 2027 melibatkan produk AgroMuda-i PLUS yang terbuka kepada kanak-kanak berusia satu hari hingga bawah 18 tahun.
Peserta perlu meningkatkan Purata Baki Bulanan (Monthly Average Balance, MAB) sebanyak RM100 setiap bulan bagi melayakkan diri menerima Hadiah Milestone.
Seramai 80 pemenang bulanan akan menerima kotak misteri selain peluang cabutan akhir sehingga RM25,500.