KUALA LUMPUR - Petroliam Nasional Bhd (Petronas) akan membayar dividen sebanyak RM20 bilion kepada kerajaan pada 2026 berdasarkan kemampuannya, kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz.
"Lembaga pengarah baru sahaja meluluskannya, dan jumlah itu masih dalam kemampuan kami selepas menilai keperluan untuk pertumbuhan dan pelaburan semula kami selain membayar pinjaman dan memastikan terdapat peruntukan mencukupi bagi operasi dalaman,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas pengumuman prestasi kewangan Petronas Group bagi tahun kewangan 2025 di sini pada Jumaat.
Bagi tahun kewangan 2025, lembaga pengarah Petronas telah meluluskan pembayaran dividen sebanyak RM32 bilion susulan perbelanjaan modal (capex) sebanyak RM41.6 bilion.
"Bagi capex, panduan yang kami tetapkan dalam tempoh lima tahun akan datang secara purata berjumlah RM45 bilion hingga RM50 bilion bergantung kepada fasa projek yang sedang dilaksanakan,” katanya. - Bernama