RHB Bank Berhad (RHB) merekodkan untung bersih RM3.4 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025 (TK2025), meningkat 7.8 peratus berbanding RM3.1 bilion pada tahun sebelumnya.
Pengarah Urusan Kumpulan Perbankan RHB, Datuk Mohd Rashid Mohamad berkata, pertumbuhan itu didorong peningkatan jumlah pendapatan, pengurusan kos berdisiplin serta penambahbaikan kualiti kredit.
“Jumlah pendapatan bagi TK2025 meningkat 2.0 peratus tahun ke tahun kepada RM8.8 bilion, disokong peningkatan pendapatan berasaskan dana bersih walaupun sebahagiannya diimbangi penurunan pendapatan bukan berasaskan dana.
“Kumpulan mengekalkan disiplin pengurusan kos berhemat apabila pertumbuhan kos dikawal pada 3.3 peratus dengan nisbah kos kepada pendapatan (CIR) 47.3 peratus manakala peruntukan kerugian kredit dijangka (ECL) menurun kepada RM214 juta berbanding RM535 juta pada TK2024,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Terdahulu, jumlah aset kumpulan meningkat kepada RM358 bilion berbanding RM350 bilion pada Disember 2024 manakala ekuiti pemegang saham berada pada RM34 bilion dengan nisbah Common Equity Tier-1 (CET-1) sebanyak 15.2 peratus serta Nisbah Modal Keseluruhan (TCR) 17.6 peratus.
Di peringkat bank, CET-1 dan TCR masing-masing berada pada 13.9 peratus dan 16.6 peratus.
Untung bersih bagi suku keempat TK2025 pula meningkat 8.5 peratus tahun ke tahun daripada RM835 juta kepada RM906 juta, didorong pendapatan berasaskan dana dan bukan berasaskan dana yang lebih tinggi serta ECL lebih rendah.
Selain itu, RHB mengisytiharkan dividen interim kedua sebanyak 35 sen sesaham, menjadikan jumlah dividen TK2025 sebanyak 50 sen sesaham, bersamaan nisbah pembayaran dividen 65 peratus dengan hasil dividen 6.5 peratus.
Mohd Rashid yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan berkata, tahun kewangan 2025 mencatat kemajuan kukuh disokong prestasi mampan merentas perniagaan teras serta penekanan berterusan terhadap disiplin operasi.
“Tahun 2025 turut dibentuk oleh usaha meningkatkan kualiti perkhidmatan serta mengukuhkan pengalaman pelanggan secara menyeluruh.
“Menjelang 2026, keutamaan kami adalah pertumbuhan berkualiti sambil mempercepat inovasi bagi meningkatkan keselamatan, kemudahan serta cara layanan kepada pelanggan,” katanya.
Tambah beliau, kumpulan turut meneruskan agenda kelestarian sepanjang TK2025 dengan menggerakkan kira-kira RM60 bilion dalam Perkhidmatan Kewangan Mampan (SFS), mewakili 67 peratus daripada sasaran RM90 bilion menjelang 2027.
“Jumlah itu merangkumi RM34 bilion bagi aktiviti hijau, RM11 bilion aktiviti sosial serta RM15 bilion pembiayaan berkaitan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) selain mencapai 63 peratus daripada sasaran Program Pembiayaan Perdagangan Mampan bernilai RM1 bilion.
“Kumpulan juga memperkasakan lebih 1.5 juta individu dan perniagaan, bersamaan 61 peratus daripada sasaran 2027,” katanya.
Menurut beliau, pendapatan berasaskan dana bersih kumpulan meningkat 3.9 peratus kepada RM6 bilion disokong pertumbuhan pinjaman kasar 5.4 peratus serta kos pembiayaan lebih rendah manakala margin faedah bersih (NIM) direkodkan pada 1.88 peratus.
“Pendapatan bukan berasaskan dana pula susut 2.1 peratus kepada RM2.8 bilion berikutan keuntungan lebih rendah daripada urus niaga forex dan derivatif, pendapatan brokeraj serta keuntungan pelupusan subsidiari.
“Pinjaman kasar berkembang 5.4 peratus kepada RM251 bilion dipacu pertumbuhan dalam segmen Perbankan Komuniti Kumpulan, Perbankan Korporat dan Perniagaan Kumpulan serta operasi di Singapura dengan pertumbuhan pinjaman domestik 6.2 peratus mengatasi purata industri 4.8 peratus,” ujarnya.
Mohd Rashid berkongsi, dari segi prestasi segmen, Perbankan Korporat dan Perniagaan Kumpulan mencatat untung sebelum cukai tertinggi sebanyak RM1.86 bilion, meningkat 23.6 peratus tahun ke tahun diikuti Perbankan Borong Kumpulan sebanyak RM1.54 bilion.
“Perbankan Komuniti Kumpulan merekodkan untung sebelum cukai RM1.06 bilion meskipun susut 11 peratus manakala Perniagaan Antarabangsa Kumpulan melonjak melebihi 100 peratus kepada RM257 juta.
“Perniagaan Syariah Kumpulan pula mencatat untung sebelum cukai RM1.06 bilion dengan pembiayaan kasar meningkat 10.4 peratus kepada RM100 bilion sementara segmen insurans merekodkan RM103 juta, meningkat 25.6 peratus,” jelasnya.
Menurutnya, nisbah pinjaman terjejas kasar (GIL) bertambah baik kepada 1.41 peratus berbanding 1.47 peratus pada Disember 2024 manakala nisbah perlindungan kerugian pinjaman termasuk rizab kawal selia meningkat kepada 118.2 peratus.
“Deposit pelanggan meningkat 1.2 peratus kepada RM253 bilion dengan deposit akaun semasa dan simpanan (CASA) berkembang 11.6 peratus kepada RM77 bilion sekali gus menaikkan nisbah CASA kepada 30.4 peratus berbanding 27.6 peratus sebelum ini.
“Nisbah perlindungan kecairan (LCR) kekal kukuh pada 136.7 peratus manakala baki Akaun Pelbagai Mata Wang (MCA) meningkat 5.4 peratus kepada RM9.2 bilion. CASA daripada ekosistem MySiswa pula berkembang 25.1 peratus kepada RM545 juta dengan jumlah deposit mencecah RM3.8 bilion,” katanya.