Operasi menyelamat tumpu di Kubang Pasu, lebih 1,500 mangsa dipindahkan

Iklan
Rumah penduduk di Kubang Pasu yang terjejas banjir.

JITRA - Operasi menyelamat mangsa banjir di Kedah bertumpu di Kubang Pasu memandangkan semua pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka di daerah Kulim telah ditutup sepenuhnya selepas penduduk pulang ke kediaman masing-masing.

Pengarah APM Kedah, Leftenan Kolonel (PA) Mohd Bukhori Mat Sidik berkata, setakat ini, operasi menyelamat bertumpu di Kubang Pasu dengan jumlah mangsa tertinggi ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Malau iaitu seramai 398 orang.

Iklan
Iklan

“Kita bertumpu di Kubang Pasu memandangkan PPS Masjid Al-Muhtadin Sungai Seluang di daerah Kulim yang dibuka pada jam 10 malam Sabtu telah ditutup sepenuhnya pada jam 12 tengah hari Selasa apabila semua mangsa dibenarkan pulang ke rumah masing-masing setelah keadaan pulih,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media ketika menyertai operasi menyelamat mangsa banjir di sini pada Selasa.

Iklan

Mohd Bukhori berkata, sehingga jam 4 petang Selasa, jumlah keseluruhan mangsa di Kubang Pasu ialah seramai 1,503 orang daripada 481 keluarga yang ditempatkan di 15 buah PPS.

Sementara itu, jumlah mangsa di tiga PPS yang baru dibuka iaitu di SK Sultan Ahmad Tajuddin, Masjid Abu Bakar Malau dan Dewan Wawasan Jitra masih dalam bancian.

Iklan

“Mukim yang terjejas di daerah Kubang Pasu termasuk Mukim Temin, Sungai Laka, Binjal, Hosba, Keplu dan Mukim Ah.

“Manakala antara kampung yang terjejas termasuk Kampung Masjid, Paya Tok Kiong, Kubang Kayu, Bendang Tok Leh dan Paya Nongmi,” katanya.

Beliau dalam masa sama menasihati penduduk terjejas agar mematuhi arahan pihak berkuasa serta berpindah segera jika kediaman dinaiki air.