GEORGE TOWN – Paras Empangan Muda menyusut daripada 84.6 peratus pada 1 Januari kepada hanya 20 peratus setakat 20 Februari lalu.
Ia menunjukkan penurunan mendadak sebanyak 64.6 peratus dalam tempoh kurang dua bulan, sekali gus mencetuskan kebimbangan terhadap jaminan bekalan air di Pulau Pinang.
Susulan perkembangan itu, Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) mengaktifkan Pelan Kontingensi Sungai Muda 2026 (SMCP 2026) bagi memastikan bekalan air di negeri ini mencukupi.
Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, Datuk K Pathmanathan berkata, penyusutan ketara paras empangan berkenaan berlaku berikutan musim panas dan kering serta aktiviti pelepasan air bagi tujuan pengairan yang agresif sejak 1 Januari tahun ini.
Menurutnya, selain Empangan Muda, Empangan Beris yang turut melepaskan air ke Sungai Muda dilaporkan berada pada paras 78.1 peratus setakat 16 Februari lalu berbanding 100 peratus pada awal Januari.
“Empangan Muda yang mempunyai kapasiti maksimum 100,000 juta liter (JL) kini berada pada tahap kritikal dan dijangka tidak lagi mampu melepaskan jumlah air mentah yang signifikan ke dalam sistem Sungai Muda dalam masa terdekat, berkemungkinan seawal awal Mac 2026.
“Sekiranya keadaan itu berlaku, rizab Empangan Beris yang berkapasiti 120,000 JL akan digunakan dan dijangka mampu menyokong keperluan bekalan air Kedah serta Pulau Pinang sehingga musim hujan yang diramalkan pada April 2026,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan, terdapat beberapa faktor tidak menentu termasuk jangkaan sebenar ketibaan musim hujan susulan perubahan iklim, jumlah taburan hujan serta impaknya terhadap kapasiti kedua-dua empangan Sungai Muda bagi baki tempoh tahun ini.
"Pada tahun 2025, PBAPP mengabstrak purata 1,000 juta liter sehari (JLH) air mentah dari Sungai Muda bagi menghasilkan kira-kira 85.5 peratus bekalan air terawat yang disalurkan di Pulau Pinang.
"Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua memerlukan kira-kira 1,000 JLH air mentah untuk beroperasi secara optimum dan membekalkan air kepada kira-kira 465,000 pengguna di Seberang Perai serta bahagian pulau," ujarnya.
Beliau berkata, antara elemen utama SMCP 2026 ialah memaksimumkan pengabstrakan air mentah dari Sungai Muda selagi paras sungai tidak susut di bawah 1.5 meter di muka sauk Lahar Tiang.
"Selain itu, pelepasan air mentah secara strategik akan dilaksanakan dari Empangan Mengkuang Diperbesarkan (EMD) di Seberang Perai Tengah sekiranya berlaku kekurangan bekalan dari Sungai Muda dengan kapasiti maksimum pengeluaran sebanyak 600 JLH.
"PBAPP turut meneruskan Program Double Dam Defence di bahagian pulau dengan mengepam kira-kira 407 JLH air terawat dari Sungai Dua bagi memastikan Empangan Air Itam dan Empangan Teluk Bahang tidak kering," katanya lagi.
Menurut beliau, sekiranya semua berjalan mengikut perancangan, SMCP 2026 akan membolehkan Pulau Pinang mengharungi tahun 2026 tanpa krisis bekalan air selagi PBAPP dapat mengabstrak sekurang-kurangnya 500 JLH iaitu 50 peratus daripada jumlah yang diabstrak pada 2025.
"Pelan itu mungkin tidak dapat sepenuhnya melindungi Pulau Pinang sekiranya PBAPP tidak dapat mengabstrak sebarang air dari Sungai Muda kerana kapasiti maksimum pelepasan dari EMD hanya 600 JLH sedangkan LRA Sungai Dua memerlukan kira-kira 1,000 JLH untuk operasi optimum," ujarnya.
Sehingga 22 Februari 2026, kapasiti efektif EMD yang berjumlah 86,400 JL berada pada tahap 91.5 peratus.
Dalam pada itu, Pathmanathan berkata, status bekalan air Pulau Pinang setakat 22 Februari masih stabil dengan taburan hujan sekali-sekala membantu meningkatkan kapasiti empangan utama negeri.
"Empangan Air Itam mencatatkan kapasiti efektif 84.1 peratus berbanding 93.9 peratus pada 1 Januari lalu dengan jumlah taburan hujan 84 milimeter (mm) bagi tempoh 1 hingga 22 Februari 2026.
"Empangan Teluk Bahang pula merekodkan 91.9 peratus berbanding 99 peratus pada awal Januari dengan taburan hujan 88.5mm manakala EMD mencatatkan 91.5 peratus berbanding 92.8 peratus pada 1 Januari dengan taburan hujan 276mm bagi tempoh sama," tambahnya.
Mengulas mengenai penggunaan air, beliau berkata, pada 2025, penggunaan air domestik merangkumi kira-kira 55.7 peratus atau 482 JLH daripada jumlah keseluruhan penggunaan air di Pulau Pinang sebanyak 865 JLH.
Sehubungan itu, beliau memohon sokongan dan kerjasama pengguna supaya menggunakan air secara berhemat khususnya sepanjang musim perayaan Tahun Baharu Cina dan bulan Ramadan bagi memastikan bekalan air mencukupi untuk semua sepanjang tahun ini.