IPOH - Kerajaan Perak memperuntukkan dana khusus bagi memulihkan pembangunan sukan dan memperkukuh modal insan melalui agenda Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam Belanjawan 2026.
Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, kerajaan negeri memahami kekecewaan penyokong susulan penarikan diri pasukan negeri daripada saingan Liga Super, yang disifatkan sebagai episod hitam dalam sejarah bola sepak Perak.
Katanya, pelbagai pandangan dan harapan rakyat telah diambil kira bagi mengembalikan kegemilangan sukan itu.
"Bagi tujuan itu, kerajaan negeri memperuntukkan RM2 juta tahun hadapan untuk membina semula asas bola sepak melalui pendekatan back to basic yang menumpukan kepada pembangunan bakat muda di setiap daerah, pengukuhan latihan akar umbi serta penyusunan semula struktur pasukan secara lebih tersusun," katanya ketika membentangkan Belanjawan Perak 2026 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, di sini pada Selasa.
Menurutnya, prestasi pasukan dalam saingan Liga A1 setakat ini menunjukkan sinar baharu bahawa bola sepak Perak masih mempunyai masa depan cerah untuk kembali melahirkan pemain berkualiti di peringkat nasional dan antarabangsa.
"Dengan sokongan peminat, komitmen pemain dan program yang lebih teratur, tunjang ekosistem bola sepak negeri mampu dikembalikan," katanya.
Dalam pada itu, kerajaan negeri turut memberi perhatian besar kepada pembangunan tenaga kerja melalui TVET dan program latihan berfokus.
Saarani berkata, melalui Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK), sebanyak 265 program pembangunan sumber manusia telah dilaksanakan setakat ini dan inisiatif itu akan diperkukuh tahun hadapan.
Katanya, peruntukan operasi PASAK ditingkatkan kepada RM4.4 juta, manakala dana khusus TVET pula dinaikkan kepada RM7 juta berbanding RM6.5 juta tahun lalu.
"Tahun depan, PASAK akan menganjurkan siri Jelajah Kerjaya Perak Sejahtera di lima daerah dengan sasaran menawarkan 20,000 peluang pekerjaan melalui kerjasama industri.
"Selain itu, program pembangunan sumber manusia juga akan diperluas dengan sasaran manfaat kepada 30,000 anak Perak," katanya.
Fokus latihan TVET meliputi pelbagai kelompok seperti Latihan Modular Industri, Latihan Mahir Kerja, TVET OKU, TVET Orang Asli, TVET Warga Emas serta TVET Desa Mahir bagi memastikan peluang meningkatkan kemahiran dapat dinikmati secara inklusif oleh seluruh masyarakat.