Anak lelaki, perempuan wajib hulur nafkah buat ibu bapa uzur

Iklan
Tanggungjawab memberi nafkah kepada ibu bapa yang fakir dan tiada mata pencarian adalah wajib bagi anak-anak tidak kira lelaki mahupun perempuan. Gambar hiasan.

SHAH ALAM - Tanggungjawab memberi nafkah kepada ibu bapa yang fakir dan tiada mata pencarian adalah wajib bagi anak-anak tidak kira lelaki mahupun perempuan.

Berdasarkan Irsyad Hukum siri ke-410 dimuat naik di laman sesawang Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, anak-anak wajib bantu-membantu dalam urusan menghulurkan nafkah terhadap ibu bapa tidak berkemampuan, lebih-lebih lagi mereka yang memiliki harta melebihi keperluan.

Iklan
Iklan

"Sewajarnya bagi setiap anak berazam di dalam diri untuk berbakti kepada ibu bapa semampu mungkin kerana ibu bapalah yang membesarkan mereka sejak kecil," katanya.

 

Iklan

Gambar hiasan dijana dengan perisian kecerdasan buatan (AI), ChatOn.

Jelas mufti, kitab al-Fiqh al-Manhaji menyatakan bahawa jika kedua-dua ibu bapa fakir dan mempunyai furu’ (anak-anak) yang setaraf (dari sudut kerabat) dalam kalangan mereka, kesemua furu’ mesti memberi nafaqah (perbelanjaan) kepada ibu bapa.

Iklan

"Hal ini kerana mereka mempunyai sebab wajib nafaqah. Bahagian nafaqah yang perlu dikeluarkan oleh perempuan adalah setengah bahagian lelaki, sebagaimana pembahagian pusaka.

"Sekiranya mereka berbeza dari sudut hampirnya seperti anak dan cucu, maka nafaqah wajib kepada furu’ yang lebih hampir sama ada mereka berhak mewarisi atau sebaliknya, tidak kira lelaki atau perempuan.

"Ini disebabkan hubungan kerabat yang hampir adalah lebih utama untuk diambil kira," ujar mufti.

Mufti bagaimanapun menjelaskan, jika ditelaah kitab Hasyiah al-Dusuqi ‘ala al-Syarh al-Kabir dari mazhab Maliki, dinyatakan bahawa yang lebih dipertimbangkan adalah seorang lelaki bersamaan dua orang perempuan atau berdasarkan kemampuan.

Tambah mufti lagi, sekiranya berhimpun anak lelaki dan anak perempuan, maka nafaqah antara kedua-duanya dibahagikan kepada tiga di mana lelaki perlu membayar dua pertiga manakala perempuan hanya satu pertiga seperti mirath (hukum pewarisan), menurut Ibn Qudamah.

"Abu Hanifah pula berkata, nafaqah (yang wajib dikeluarkan) ke atas kedua-duanya adalah sama kerana mengambil kira sudut hubungan kerabat.

"Menurut Imam al-Syafi’e, nafaqah wajib ke atas anak lelaki kerana berdasarkan hukum ‘asabah.

"Bagi mazhab Hanbali adalah berdasarkan firman ALLAH SWT. Dan waris juga menanggung kewajipan yang tersebut (jika si bapa tiada), maka hendaklah disusun nafaqah mengikut hak pewarisan," jelas mufti lagi.

Sebelum ini, kerajaan dilapor sedang memperincikan peruntukan berkaitan nafkah kepada ibu bapa yang uzur dan tidak berkemampuan pada 2026.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) akan menggubal undang-undang baharu dengan memasukkan peruntukan punca kuasa yang lebih jelas dan khusus pada Mac tahun depan.

Jelas beliau, semua anak dipertanggungjawabkan untuk membantu memenuhi nafkah dan keperluan asas ibu bapa yang dalam keadaan tidak berupaya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Aminolhuda Hassan (PH-Seri Gading) ketika sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat pada Selasa.

Tambah Mohd Na'im, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) turut melaksanakan semakan menyeluruh terhadap Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984 agar ia selari dengan hukum syarak serta menepati keperluan dan realiti semasa dihadapi masyarakat Islam di negara ini.

Menurut beliau, proses penyediaan draf undang-undang digerakkan melalui libat urus bersama Jakim dan JKSM supaya ia boleh diterima pakai di negeri-negeri lain.

Perkara terbabit katanya sedang diteliti Jawatankuasa Perundangan Islam Kebangsaan (JPIK) sebelum dibawa ke Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Agama Islam yang dipengerusikan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.