IOIPG catat pengingkatan hasil 41 peratus
Iklan
IOI City Mall merupakan pusat membeli-belah terbesar di Malaysia
IOI Properties Group Berhad (IOIPG) mencatat peningkatan hasil sebanyak 41 peratus kepada RM968.7 juta bagi suku pertama tahun kewangan berakhir 30 Jun 2026 (Q1 FY2026) berbanding RM687.9 juta pada Q1 FY2025.
Peningkatan didorong prestasi kukuh merentasi ketiga-tiga segmen teras perniagaan iaitu Pembangunan Hartanah, Pelaburan Hartanah serta Hospitaliti & Rekreasi yang masing-masing merekodkan pertumbuhan ketara sebanyak 47 peratus, 31 peratus dan 44 peratus.
Iklan
Iklan
Keuntungan sebelum cukai bagi Q1 FY2026 melonjak lebih lima kali ganda kepada RM753.6 juta berbanding RM133.7 juta pada Q1 FY2025.
Prestasi kukuh ini disumbangkan keuntungan pengukuran semula sebanyak RM502.8 juta berikutan penyempurnaan pengambilalihan South Beach serta prestasi mantap segmen Pembangunan Hartanah dan Pelaburan Hartanah.
Iklan
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan IOIPG, Lee Yeow Seng berkata, syarikat berbesar hati memulakan tahun kewangan baharu dengan prestasi yang memberangsangkan disokong oleh ketahanan segmen perniagaan teras.
“Walaupun cabaran ekonomi global mungkin berterusan, prospek kadar faedah yang menggalakkan di Singapura serta unjuran positif sektor hospitaliti menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 memberi isyarat baik kepada syarikat.
Iklan
“Dengan syarat tiada kejadian luar jangka, prestasi kewangan kumpulan bagi tahun ini dijangka memuaskan,” katanya dalam satu kenyataan.
Jelasnya, dalam Q1 FY2026, segmen Pembangunan Hartanah mencatat jualan sebanyak RM473.6 juta. Projek tempatan menyumbang RM384.2 juta, iaitu 81 peratus daripada jumlah jualan manakala projek di China menyumbang RM89.4 juta atau 19 peratus daripada jumlah jualan.
“Di Malaysia, jualan didorong terutamanya oleh wilayah Lembah Klang dengan jumlah RM243.4 juta, diterajui kawasan perbandaran matang dan pesat membangun 16 Sierra di Puchong South, diikuti Senna Puteri, pembangunan bandar terbaharu di Salak Tinggi, Sepang.
“Sementara itu, Johor merekodkan jualan sebanyak RM141.7 juta, disumbangkan oleh perbandaran dinamik Bandar Putra Kulai dan Taman Kempas Utama,” katanya.
IOI City Mall merupakan pusat membeli-belah terbesar di Malaysia
Yeow Seng menambah, sebagai sebahagian daripada usaha pemasaran, syarikat baru-baru ini melancarkan IOI Expo Campaign yang merangkumi siri jelajah di IOI City Mall dan IOI Mall Puchong.
Ia menampilkan pelbagai tawaran kediaman, komersial dan perindustrian merentasi perbandaran milik syarikat di Lembah Klang disertakan dengan pakej promosi menarik untuk pembeli berpotensi.
Pada masa sama, IOI Expo menerima sambutan menggalakkan khususnya bagi COVO iaitu pembangunan Berorientasikan Transit (Transit Oriented Development) terdiri dari 601 unit pangsapuri servis di 16 Sierra, Puchong South.
“Kawasan perbandaran mapan kami seperti Bandar Puteri Puchong dan IOI Resort City serta Senna Puteri turut mencatat permintaan yang kukuh,” jelasnya.
Segmen Pelaburan Hartanah pula menunjukkan prestasi yang berdaya tahan, disokong oleh kadar penghunian tinggi bagi pusat beli-belah dan pejabat milik IOIPG.
IOI City Mall Fasa 2 yang mula beroperasi pada Ogos 2022 kini berada dalam kitaran pertama semakan semula sewaan utama.
Disokong pelaksanaan operasi yang kukuh oleh pasukan pengurusan pusat beli-belah, kepelbagaian penyewa serta jumlah pengunjung yang tinggi, prestasi pusat beli-belah tersebut terus melepasi jangkaan.
Selain itu, IOI City Tower One, yang telah mencapai kadar komitmen penuh, dijangka meningkatkan lagi jumlah pengunjung ke pusat beli-belah serta mengukuhkan aliran pendapatan berulang syarikat pada masa hadapan.
Dalam segmen Hospitaliti & Rekreasi, Malaysia terus mengekalkan kedudukan sebagai destinasi pelancongan utama di Asia Tenggara dengan menerima 28.2 juta pelawat dalam lapan bulan pertama tahun 2025.
Prestasi kukuh sektor pelancongan negara telah memberikan manfaat ketara kepada hotel-hotel milik Kumpulan yang mengekalkan kadar penghunian tinggi serta kadar harga bilik purata sepanjang suku tersebut.
Menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026, peningkatan aktiviti pelancongan yang dijangka berlaku bakal merancakkan lagi segmen Hospitaliti & Rekreasi.
Walaupun prospek ekonomi di China perlahan, usaha proaktif syarikat telah menunjukkan kemajuan berterusan dalam mengurangkan inventori siap dibina, manakala pelaburan hartanahnya terus menjana pendapatan berulang yang stabil.
Sheraton Grand Xiamen Jimei, yang memulakan operasi pada Mac 2025, dilihat mencatatkan peningkatan lanjut dalam kadar penghunian sepanjang suku berkenaan.
Sementara itu di Singapura, trend penurunan kadar faedah memberikan prospek positif kepada IOIPG memandangkan kira-kira 84 peratus daripada jumlah pinjamannya adalah dalam denominasi Dolar Singapura.
Dalam pada itu, IOI Central Boulevard Towers terus menunjukkan momentum penyewaan yang kukuh dengan kadar komitmen mencapai 95 peratus.
Selain itu, IOIPG berjaya membuka nilai daripada kepentingan terdahulunya dalam South Beach, mengiktiraf keuntungan pengukuran semula sekali sahaja selepas menyempurnakan pengambilalihan baki pegangan dalam South Beach pada 1 September 2025.
Langkah ini dijangka mengukuhkan lagi jejak IOIPG dalam sektor pejabat dan hospitaliti di Singapura serta meningkatkan aliran pendapatan berulang Kumpulan.
Hamidah Sulaiman, 51, yang juga usahawan bimbingan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) berkata, perjalanan lebih 18 tahun dalam dunia keusahawanan membuktikan industri makanan tradisional masih relevan serta berpotensi besar jika diusahakan secara strategik dan berdisiplin.
Artikel: https://www.sinarharian.com.my/article/762391/bisnes/daripada-dapur-rumah-ke-kilang-sendiri
Copyright disclaimer: Segala penyuntingan video adalah hak cipta terpelihara milik Sinar Harian.