SYARIKAT teknologi global, Nvidia, dilaporkan sedang berada dalam rundingan lanjut untuk mengambil alih syarikat permulaan kecerdasan buatan (AI) berpangkalan di Israel, AI21 Labs dengan nilai urus niaga dianggarkan sehingga AS$3 bilion.
Laporan akhbar kewangan Israel, Calcalist, pada Selasa menyatakan Nvidia bagaimanapun enggan mengulas perkembangan tersebut manakala AI21 tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan kenyataan rasmi.
AI21 sebelum ini dinilai pada AS$1.4 bilion susulan pusingan pembiayaan pada 2023 yang turut disertai Nvidia serta Google milik Alphabet.
Syarikat itu diasaskan pada 2017 oleh Amnon Shashua bersama dua rakan pengasas lain dan merupakan antara syarikat pemula niaga AI yang berkembang pesat hasil lonjakan penggunaan teknologi kecerdasan buatan sekali gus menarik minat tinggi firma modal teroka dan pelabur strategik.
Shashua juga merupakan pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Mobileye, syarikat yang membangunkan teknologi pemanduan autonomi.
Menurut laporan Calcalist, AI21 telah lama terbuka untuk dijual dan perbincangan dengan Nvidia menunjukkan kemajuan ketara sejak beberapa minggu kebelakangan ini dengan fokus utama Nvidia dikatakan tertumpu kepada tenaga kerja AI21.
AI21 memiliki kira-kira 200 pekerja, kebanyakannya berkelulusan akademik tinggi serta mempunyai kepakaran khusus dalam pembangunan kecerdasan buatan.
Nilai pengambilalihan AI21 dianggarkan antara AS$2 bilion hingga AS$3 bilion, menurut laporan tersebut.
Dalam perkembangan berkaitan, Nvidia yang kini muncul sebagai syarikat paling bernilai dalam sejarah dengan permodalan pasaran melebihi AS$4 trilion, turut merancang pengembangan besar operasinya di Israel.
Syarikat itu sebelum ini mengumumkan pembinaan kampus penyelidikan dan pembangunan (R&D) baharu yang mampu menempatkan sehingga 10,000 pekerja di Kiryat Tivon, selatan bandar pelabuhan Haifa.
Ketua Pegawai Eksekutif Nvidia, Jensen Huang, sebelum ini menyifatkan Israel sebagai ‘rumah kedua’ syarikat berkenaan.
Apabila siap kelak, kampus tersebut dijangka merangkumi sehingga 160,000 meter persegi ruang pejabat, taman dan kawasan bersama di atas tanah seluas 90 dunam dengan reka bentuk diinspirasikan daripada ibu pejabat Nvidia di Santa Clara, California.
Pembinaan pula dijadual bermula pada 2027 dengan kemasukan awal pada 2031. - Agensi