BATU GAJAH – Bermula sekadar menguli adunan di dapur rumah demi menyara keluarga, siapa sangka perniagaan kuih tradisional yang diasaskan seorang usahawan dari Gerik kini berkembang menjadi sebuah perusahaan makanan dengan kapasiti pengeluaran ratusan ribu unit sebulan.
Hamidah Sulaiman, 51, yang juga usahawan bimbingan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) berkata, perjalanan lebih 18 tahun dalam dunia keusahawanan membuktikan industri makanan tradisional masih relevan serta berpotensi besar jika diusahakan secara strategik dan berdisiplin.
Menurutnya, perniagaan yang bermula di Gerik itu masih beroperasi sehingga kini, selain mempunyai kilang di Kawasan Perindustrian Siputeh di sini sebagai pusat pengeluaran utama.
“Alhamdulillah, kita bermula kecil-kecilan dan sekarang kita sudah ada kilang sendiri. Titik perubahan besar adalah apabila saya menyertai program RISDA pada tahun 2024 yang banyak membantu dari segi sokongan peralatan dan latihan.
“Melalui geran yang diterima itu ditambah dengan modal sendiri perlahan-lahan kami beli mesin baru untuk naik dari satu tahap ke tahap yang lebih baik,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.
Hamidah menjelaskan, bantuan awal RISDA diterima dalam bentuk mesin karipap yang meningkatkan keupayaan pengeluaran syarikat, walaupun sebahagian kos ditanggung sendiri bagi mendapatkan mesin berskala lebih besar.
Beliau kemudian menyertai program RISDA Groom Big Challenge (RGBC) yang disifatkan sebagai pemangkin sebenar kepada transformasi perniagaan Iddas Industry.
“RGBC bukan sekadar beri geran, tetapi ilmu. Kita diajar bina strategi perniagaan, faham untung rugi, kenal kekuatan dan kelemahan.
“Apabila fokus itu jelas, barulah ada keberanian untuk buat perubahan besar,” kata Pengarah Urusan Iddas Industry Sdn Bhd itu.
Hasil penyertaan dalam program tersebut, syarikat beralih daripada penggunaan mesin separa automatik kepada automatik sepenuhnya melibatkan mesin karipap, samosa dan pau.
Jika sebelum ini pengeluaran sekitar 100,000 unit sebulan bagi dua outlet, kini kapasiti melonjak kepada antara 400,000 hingga 500,000 unit sebulan, peningkatan hampir lima kali ganda.
“Perbezaan sangat ketara. Selain kapasiti meningkat, kita juga dapat kurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja. Dulu perlukan 10 hingga 15 orang, sekarang lima hingga tujuh orang sudah mencukupi,” katanya.
Tembusi pasaran luar
Dalam aspek pasaran, produk keluaran Iddas Industry pernah menembusi pasaran luar negara seperti Brunei, Singapura, Filipina dan Thailand menerusi penyertaan ekspo, namun masih belum secara eksport pukal.
Hamidah berkata, langkah seterusnya adalah mendapatkan pensijilan Amalan Pengilangan Baik (GMP) sebagai persediaan menembusi pasaran eksport secara lebih agresif, dijangka bermula seawal 2027.
Malah, beliau mendedahkan terdapat permintaan awal dari Arab Saudi bagi produk pau shawarma serta minat dari Hong Kong untuk pau berperisa durian yang kini masih dalam fasa penyelidikan dan pembangunan (R&D).
Iddas Industry ketika ini menghasilkan 36 jenis produk termasuk karipap, cucur badak, popiah, wadey, roti canai dan pelbagai kuih tradisional lain, dengan karipap pusing muncul sebagai produk terlaris.
Produk syarikat turut menembusi beberapa rangkaian pasar raya besar seperti Jaya Grocer, namun fokus utama perniagaan kini adalah pembekalan ke sekolah berasrama penuh di Perak dan Lembah Klang.
Antara produk terbaharu ialah rangkaian pau unik seperti pau dendeng, pau daging masak hitam, pau ayam masak merah serta pau berperisa buah, yang bakal dikembangkan di bawah jenama baharu, Pau & Co, dengan perancangan ke arah francais.
Mengimbau cabaran sebagai usahawan wanita, Hamidah mengakui pengurusan masa antara perniagaan dan keluarga merupakan ujian terbesar, lebih-lebih lagi dengan enam orang anak.
Namun, keazaman untuk keluar daripada kesempitan hidup menjadi pendorong utama beliau terus bertahan.
“Saya bermula tanpa asas, belajar melalui internet dan kursus kerajaan. Dari jual roti canai, simpan RM5,000 pertama, sehinggalah hari ini.
“Saya percaya walaupun hanya sebiji karipap, jika dibuat dengan betul, ia mampu mengubah kehidupan,” kata ibu kepada enam orang cahaya mata itu.
Kini dengan dua outlet di Gerik dan Batu Gajah, Hamidah optimis industri makanan tradisional akan terus menjadi sumber rezeki mampan, bukan sahaja untuk dirinya, malah kepada pekerja dan generasi usahawan baharu yang ingin mengikuti jejak langkahnya.