TUMPAT - Polis Kelantan bersedia membuat lebih 20 sekatan di sepanjang Sungai Golok bermula dari Tumpat ke Tanah Merah bagi mengekang aktiviti penyeludupan dan rentas sempadan secara haram sepanjang musim banjir ini.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, pihaknya sudah bersedia dengan keadaan tersebut dan telah membuat persiapan awal.
"Penyeludup kalau boleh hendak sepanjang tahun banjir kerana ia memudahkan aktiviti rentas sempadan di Sungai Golok.
"Bila banjir ia lebih mudah kerana air Sungai Golok melimpah. Bagaimanapun kita sudah mengenal pasti 20 kawasan yang akan dilakukan sekatan bagi mengekang aktiviti tersebut," katanya semasa sidang akhbar pada Selasa.
Sebelum itu beliau turun padang ke pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Kok Keli, di sini.
Menurut Mohd Yusoff, setakat ini kawalan masih diperingkat biasa dan belum lagi menggunakan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) untuk bertugas di lokasi banjir.
Ujarnya, PGA masih kekal bertugas di kawalan sempadan oleh kerana air Sungai Golok belum lagi melimpah.
"Jadi keadaan masih seperti biasa. Nasihat saya kepada penduduk yang ingin merentasi sempadan secara haram dan mengambil kesempatan semasa banjir ini, kami akan mengambil tindakan tegas.
"Tidak perlu bagi alasan hendak beli barang atau apa sahaja. Di sini sudah ada semuanya, tidak perlu sampai ke negara jiran," katanya.