IPOH - Kerajaan Perak mengumumkan peruntukan berjumlah RM718.5 juta bagi fokus kesejahteraan rakyat dalam Belanjawan 2026.
Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, peruntukan besar dengan peningkatan RM89.8 juta berbanding sebelumnya itu mencerminkan iltizam kerajaan negeri untuk memastikan manfaat pembangunan dapat dirasai secara menyeluruh oleh rakyat.
"Sebagai jentera paling hadapan dalam pelaksanaan program kesejahteraan negeri, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menerima peruntukan RM47.3 juta, meningkat RM1.4 juta berbanding 2025.
"Daripada jumlah itu, RM37 juta diperuntukkan khusus untuk Bantuan Am," katanya.
Bagi memastikan sokongan kebajikan terus mencapai kelompok sasar, kerajaan turut menyediakan peruntukan RM32.1 juta untuk melaksanakan empat program utama yang rapat dengan keperluan rakyat marhaen.
Saarani berkata, antara program berkenaan ialah Kad Perak Sejahtera yang menerima RM24.5 juta, peningkatan RM0.5 juta berbanding tahun lalu, manakala jumlah penerima turut bertambah kepada 21,000 orang.
Selain itu katanya, sebanyak RM1.2 juta diperuntukkan bagi Kedai Bergerak Negeri Perak yang akan dijenamakan sebagai Jualan Sejahtera Rakyat, sekali gus meningkat RM400,000 berbanding tahun 2025.
"Program Bantuan Kotak Makanan pula menerima peningkatan peruntukan kepada RM6 juta, naik RM1 juta berbanding tahun sebelumnya. RM400,000 lagi diperuntukkan bagi pelaksanaan Jualan Sejahtera Rahmah," katanya.
Menurut Saarani, pelaksanaan empat program tersebut menzahirkan komitmen kerajaan negeri untuk terus berada di sisi keluarga B40 yang setiap hari berjuang memastikan keperluan asas rumah tangga terjaga.
"Setiap dasar yang digubal, pelaburan yang masuk dan setiap projek dilaksanakan harus kembali membawa manfaat kepada kehidupan rakyat.
"Baik dari kampung ke bandar dari desa hingga kota. Inilah kompas yang memandu hala tuju pembangunan negeri," katanya.