IPOH – Datuk Seri Wan Zahidi Wan Teh secara rasmi menamatkan perkhidmatannya sebagai Mufti Perak pada Rabu selepas sekian lama mencurahkan bakti dalam bidang kefatwaan dan dakwah di negeri ini.
Menerusi hantaran di Facebook Jabatan Mufti Negeri Perak memaklumkan hari terakhir perkhidmatan beliau diraikan dalam satu majlis perpisahan yang berlangsung dengan suasana penuh sebak melibatkan warga jabatan berkenaan.
Wan Zahidi berkata, dunia kefatwaan merupakan sebahagian daripada medan dakwah yang luas dan menuntut keikhlasan serta kesungguhan dalam menyampaikan kebenaran.
"Dunia kerjaya dalam kefatwaan ini adalah sebahagian daripada dunia dakwah yang luas.
"Percayalah, ia akan membawa kita ke dunia yang lebih jauh," katanya seperti dilaporkan dalam hantaran tersebut.
Beliau sempat menitipkan pesanan kepada warga jabatan agar terus memikul amanah dakwah dengan penuh tanggungjawab dan keikhlasan.
Sementara itu, Timbalan Mufti Negeri Perak, Datuk Zamri Hashim dalam ucapannya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas sumbangan dan kepimpinan Wan Zahidi sepanjang menerajui institusi kefatwaan negeri itu.
Majlis turut diserikan dengan penyerahan tanda kenang-kenangan daripada warga Jabatan Mufti Negeri Perak sebagai simbol penghargaan atas jasa dan khidmat bakti Wan Zahidi.
Penyerahan itu diiringi Pengerusi Kelab Kebajikan dan Sukan (KKS) Jabatan Mufti Negeri Perak, Zainuddin Mohamad bersama Zamri.
Majlis diakhiri dengan bacaan doa yang dipimpin sendiri oleh Wan Zahidi sebelum beliau melangkah keluar meninggalkan pejabat buat kali terakhir sebagai Mufti Perak.
Wan Zahidi dilantik sebagai Mufti Perak pada 1 Ogos 2022 selepas diperkenan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menggantikan Allahyarham Tan Sri Harussani Zakaria yang meninggal dunia pada pada 30 Mei 2021.
Anak jati Gerik itu sebelum ini merupakan Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia.
Beliau merupakan seorang tokoh pemikir Islam yang memberikan sumbangan besar kepada dunia akademik, penyelidikan, pendidikan serta pembangunan modal insan selain memiliki pengalaman lebih 40 tahun dalam perkhidmatan awam dan bidang akademik khususnya dalam pentadbiran Islam.
Wan Zahidi juga pernah dilantik sebagai Mufti Wilayah Persekutuan selain menjawat pelbagai jawatan penting seperti Pakar Perunding Yayasan Dakwah Islamiah, Rektor Kolej Islam Darul Ridzuan dan Felo Kehormat Kanan Universiti Islam Malaysia.