Perak catat surplus RM85 juta tahun 2025

Iklan
Saarani (tiga dari kiri) menyempurnakan gimik pelancaran video promosi Tourism Perak sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 ketika Sambutan Ambang Tahun Baharu 2026 Peringkat Negeri Perak di Bulatan Sultan Azlan Shah, Bandar Meru Raya di sini pada Rabu.

IPOH – Kerajaan negeri Perak sekali lagi merekodkan lebihan pendapatan atau surplus sebanyak RM85 juta bagi tahun 2025.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, kejayaan itu sekali gus menandakan pencapaian positif pengurusan kewangan negeri untuk tiga tahun berturut-turut.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pencapaian itu didorong oleh kestabilan ekonomi dan politik negeri serta pengurusan kewangan yang lebih berhemah sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

"Kita pernah berada di jurang keruntuhan dengan defisit RM78 juta. Kita pernah terpaksa mengurangkan perbelanjaan akibat poket Kerajaan Negeri yang menyusut teruk. Kita pernah melihat derita rakyat yang hilang pekerjaan, hilang mata pencarian.

Iklan

"Tetapi sejak dua tiga tahun terakhir ini, kita berjaya bangkit mengubah keadaan. Kita bergerak dengan yakin memperkukuh ekonomi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sambutan Ambang Tahun Baharu 2026 Peringkat Negeri Perak di Bulatan Sultan Azlan Shah, Bandar Meru Raya di sini pada Rabu.

Iklan

Saarani berkata, pertumbuhan ekonomi negeri turut dipacu pelaksanaan beberapa projek berimpak tinggi seperti Automotive High Tech Valley (AHTV) di Tanjung Malim, Lumut Maritime Industrial City (LuMIC) di Manjung, Perak Halal Industrial Park (HIP) di Lekir, Silver Valley Technology Park (SVTP) di Kanthan dan Kerian Integrated Green Industrial Park (KIGIP) di Kerian.

Menurutnya, kesungguhan kerajaan negeri itu turut mendapat pengiktirafan Kerajaan Persekutuan apabila sebahagian besar projek berkenaan disenaraikan dalam Belanjawan 2026 serta Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa kejayaan tersebut bukan milik pentadbiran kerajaan semata-mata sebaliknya hasil usaha bersama seluruh rakyat Perak.

"Dari Ipoh ke Parit, dari Tanjong Malim ke Lumut, dari Tapah ke Kerian, dari Lenggong hingga ke Gerik setiap inci Perak menyumbang kepada kejayaan ini.

"Daripada penjawat awam yang bekerja tanpa mengira waktu, daripada usahawan kecil dan kuat berusaha menahan cabaran, daripada anak muda yang cekal membina masa depan hinggalah masyarakat desa dan bandar yang gigih berusaha semua adalah watak yang membina kejayaan,” katanya.

Beliau turut menyeru golongan muda agar terus melengkapkan diri dengan ilmu dan kemahiran serta berani meneroka ekonomi baharu dan teknologi masa hadapan.

Selain itu, Saarani turut mengajak rakyat Perak memanfaatkan Tahun Melawat Malaysia 2026 bagi mengukuhkan sektor pelancongan negeri, susulan kejayaan Tahun Melawat Perak 2024 yang merekodkan ketibaan 10.2 juta pelancong iaitu tertinggi di Malaysia.

Beliau berkata, kerajaan negeri turut menyalurkan peruntukan kepada pihak berkuasa tempatan bagi menaik taraf infrastruktur dan kemudahan di kawasan tumpuan pelancong selain menyifatkan pembukaan laluan penerbangan terus Ipoh–Singapura sebagai pemangkin kepada pasaran antarabangsa.