ISKANDAR PUTERI – Akibat dimarahi keluarga kerana pulang lewat ke rumah, seorang wanita sanggup mereka-reka cerita kononnya dirogol dan dipaksa melakukan hubungan seks luar tabii oleh seorang pemandu e-hailing.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan berkata, wanita itu membuat laporan polis pada jam 10.27 pagi Isnin.
"Wanita itu mendakwa pada jam 8.30 malam Ahad, dia telah dirogol dan dipaksa melakukan hubungan seks luar tabii dalam kereta pemandu e-hailing di kawasan Jalan Pulai Perdana, Kangkar Pulai di sini.
"Hasil siasatan mendapati pengadu telah membuat laporan palsu kerana telah dimarahi oleh pihak keluarganya apabila pulang lewat ke rumah," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Menurut Kumarasan, wanita yang tidak bekerja itu sudah diambil keterangan untuk siasatan lanjut.
Kumarasan mengingatkan orang ramai supaya tidak membuat laporan palsu bagi membolehkan pihak polis membantu mangsa-mangsa sebenar kejadian jenayah yang lebih memerlukan.
"Perbuatan membuat laporan palsu adalah suatu kesalahan di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara selama tempoh enam bulan atau dengan denda yang boleh sampai RM2,000 atau kedua-duanya," katanya.