Gunalah bahasa Melayu dalam majlis rasmi

Iklan
Bahasa Melayu perlu kekal menjadi tunjang, manakala penghormatan kepada bahasa pelabur hendaklah bersifat pelengkap, bukan mengatasi. Gambar hiasan

MAJLIS pecah tanah projek Kedah Rubber City (KRC) menjadi perdebatan hangat bukan kerana pelaburan tinggi bernilai RM2.6 bilion, tetapi isu batu asas yang menjadi perhatian.

Batu asas majlis pecah tanah tersebut dipahat sepenuhnya menggunakan tulisan Cina.

Iklan
Iklan

Menerusi projek tersebut, Prinx Tire (Malaysia) Sdn Bhd (PTM) mengumumkan peruntukan itu akan dilabur dalam tempoh 15 tahun untuk membangunkan kilang pengeluaran tayar pintar dan mesra alam di Negeri Jelapang Padi tersebut.

Fasiliti baharu yang terletak di kawasan seluas 41.53 hektar itu dijangka beroperasi pada suku pertama 2027 dan akan menjadikan Kedah sebagai hab utama pembuatan tayar tercanggih di Asia Tenggara.

Iklan

Difahamkan, kilang berkenaan bakal mewujudkan sebanyak 1,056 peluang pekerjaan tempatan bernilai tinggi dalam bidang kejuruteraan, penyelidikan dan pembangunan.

Namun yang menimbulkan kontroversi dan perdebatan hangat apabila batu asas majlis pecah tanah itu menggunakan tulisan Cina.

Iklan

Pandangan itu turut mendapat reaksi pelbagai pihak yang mendakwa kerajaan Pas di Kedah bersikap hipokrit kerana selama ini parti itu menekankan penggunaan bahasa Melayu atau tulisan jawi, tetapi dalam kes pelaburan besar, mereka benarkan tulisan Cina di batu asas.

Kerajaan Kedah juga dikatakan mengamalkan double standard dalam dasar penggunaan bahasa apabila melibatkan pelaburan besar dari luar negara.

Bagaimanapun Exco Industri, Pelaburan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Inovasi Kedah, Dr Haim Hilman Abdullah dalam kenyataan di Facebook tampil menangkis dakwaan tersebut dan menyifatkan perkara itu sengaja diperbesarkan pihak tertentu demi meraih keuntungan politik.

Beliau menjelaskan, dakwaan kononnya kerajaan negeri mengangkat budaya luar adalah tidak berasas memandangkan tulisan Melayu turut dipaparkan pada acara rasmi tersebut.

Malah menurutnya, ucapan rasmi juga menggunakan bahasa Melayu dan bendera Kedah serta Malaysia turut dikibarkan.

Isu berulang

Dari sudut pelaburan, penggunaan tulisan Cina mungkin dilihat sebagai langkah praktikal dengan menghormati identiti pelabur supaya hubungan perniagaan lebih lancar.

Namun dari sudut budaya politik, ia dilihat agak sensitif memandangkan isu bahasa dan identiti sering dipaut dengan sentimen nasionalisme, terutama apabila melibatkan bahasa rasmi atau kebangsaan.

Kontroversi menggunakan bahasa asing bukan isu baharu, malah sering timbul sejak kebelakangan ini.

Malah Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Dr Hazami Jahari sebelum ini pernah menegur sikap segelintir penjawat awam yang lebih cenderung menggunakan bahasa Inggeris dalam program yang dianjurkan.

Pakar bahasa, Profesor Emeritus Datuk Dr Teo Kok Seong turut berpendapat, DBP perlu diberikan lebih banyak kuasa untuk menguatkuasakan undang-undang berkaitan bahasa kebangsaan supaya tidak berlaku pertindihan dengan pihak lain seperti pihak berkuasa tempatan (PBT).

Menurut Kok Seong, kali terakhir Akta DBP 1959 dipinda adalah pada 1995 yang mana hampir 30 tahun ia tidak dikemas kini dan diperkemaskan berdasarkan isu semasa.

Penerangan

Dalam konteks ini, kerajaan Kedah sewajarnya lebih berhati-hati dalam soal penggunaan bahasa ketika menganjurkan majlis rasmi.

Langkah memberi penerangan awal atau menyediakan terjemahan jelas atau menambah elemen bahasa Melayu mungkin boleh mengelakkan kekeliruan dan kritikan masyarakat.

Ketelitian sebegini penting bukan kerana tunduk kepada mana-mana tekanan, tetapi sebagai usaha menjaga keharmonian dan menghormati sensitiviti rakyat, dalam masa sama tidak mengabaikan pembangunan ekonomi sekali gus menarik lebih banyak pelaburan.

Bahasa Melayu juga perlu kekal menjadi tunjang, manakala penghormatan kepada bahasa pelabur hendaklah bersifat pelengkap, bukan mengatasi.

Kita sebagai rakyat Malaysia perlu main peranan dalam memartabatkan bahasa kebangsaan sendiri.

Dengan keseimbangan inilah pembangunan negara dan identiti nasional dapat bergerak seiring tanpa disalahertikan mana-mana pihak.

* Siti Zubaidah Zakaraya ialah Wartawan Sinar Harian Utara